Assalamualaikum wbt,
Saya berasal dari Kuala Lumpur, sekarang mengaji di University of Oxford dalam bidang Perundangan, insya-Allah tamat pengajian Jun 2009. Sebelum ini, saya berjuang bersama-sama Shafie, Izwan, Faris, dan lain-lain di Kolej Yayasan UEM, dua tahun yang penuh nikmat dan pengajarannya.
Mitos
Oxford memang banyak mitosnya, dan salah satu mitos yang perlu dihapuskan serta-merta ialah tanggapan bahawa lebih susah untuk mendapat tempat di Oxford berbanding dengan Cambridge. Sama sahaja sebenarnya – masalahnya, oleh sebab jauh lebih ramai pelajar memilih untuk memohon tempat di Cambridge, maka tak hairanlah terdapatnya lebih ramai pelajar Malaysia di Cambridge berbanding dengan Oxford! Kalau dah berazam nak datang, jangan hiraukan statistiknya – pohon sahaja, dan tawakal kepada Allah.
Sistem Pengajian
Dari segi pembelajaran, semestinya Oxford memberikan suasana dan taraf pembelajaran yang memang susah untuk ditandingi. Sebagai seorang pelajar perundangan di Oxford, setiap minggu, saya diberikan senarai kes-kes dan artikel untuk dibaca - amnya, setiap senarai akan mengambil masa lebih kurang 30 jam untuk dihabiskan. Kami cuba mengurangkan penggunaan buku teks, dan menggunakan bahan asal, iaitu kes dan jurnal, supaya kami tidak terlalu dipengaruhi oleh pendapat penulis-penulis buku teks, dan lebih bebas untuk membuat kesimpulan kami sendiri. Selepas habis membaca bahan untuk suatu minggu itu, dan betul-betul memahaminya, kami akan menulis karangan yang telah ditetapkan untuk minggu tersebut. Selalunya, karangan ini akan membolehkan kami menyuarakan pendapat dan kesimpulan kami sendiri tentang satu isu yang penting berkaitan topik yang dipelajari pada minggu itu.
Setiap minggu, akan ada perbincangan dengan guru – selalunya lebih kurang sejam, dan biasanya dengan seorang lagi pelajar, ataupun seorang diri dengan guru. Dalam perbincangan inilah idea-idea dan kesimpulan yang telah kami dapat setelah membaca bahan yang disarankan dapat disalurkan, dibahaskan, dan diuji keutuhannya, sehinggalah guru pasti bahawa kami telah betul-betul memahami topik untuk minggu tersebut. Memang menarik, memang seronok, dan amatlah memberangsangkan – selagi kami ada kes ataupun artikel dan hujah yang logik, walaupun guru mungkin tidak bersetuju dengan kesimpulan kami, tetapi masih lagi diterima – begitulah kebebasan yang diberi untuk berfikir. Inilah aspek yang paling menarik tentang pembelajaran di Oxford – kami dihumbankan ke dalam kegelapan, dan diberi pelita dalam bentuk pembacaan dan perbincangan mingguan, tetapi jalan yang akan kami ambil, dan destinasi yang akan kami sampai, bebas untuk kami carikan sendiri.
Islam di Oxford
Salah seorang ulama yang terulung di Oxford, Sheikh Afifi-al Akiti, pernah menyifatkan pengajian di Oxford sebagai meneruskan tradisi pengajian yang dipelopori oleh madrasah-madrasah Islam yang ulung pada zaman kegemilangan Islam. Bayangkan, dalam setiap satu daripada 39 kolej di Oxford, dikumpulkan sarjana-sarjana dari pelbagai bidang, dan pelajar yang datang untuk menuntut pelbagai bidang juga, dan dalam suasana ini, dibolehkan perbincangan, perdebatan, dan perkongsian antara manusia yang berbagai-bagai bidang dan pengalamannya – inilah keunikan Oxford, dan salah satu sebab utama untuk anda memilih untuk meneruskan pengajian di sini.
Oxford sememangnya diberikan baraqah dari Allah s.w.t., dengan adanya sarjana-sarjana Islam yang bersama menegakkan keilmuan Islam di Oxford Centre of Islamic Studies. Pada satu masa dahulu, pusat ini merupakan bumbung untuk Orientalis – sekarang, gedung ilmu yang merupakan nikmat Allah untuk setiap pelajar Muslim. Bayangkan, perpustakaannya yang penuh dengan karya-karya terulung sarjana-sarjana Islam, ahli-ahlinya sibuk mendalami karya-karya Ibnu Taymiyyah, al-Ghazali, dan ramai
lagi, dalam usaha membawa keilmuan Islam yang tiada bandingannya untuk dunia yang teramatlah memerlukannya, bangunan baru yang tersergam indah, dengan masjid yang akan melaungkan azan merentas menara-menara Oxford buat pertama kalinya, insya-Allah, bermula awal 2008. Di sinilah menetapnya salah seorang ulama Malaysia yang paling berpotensi, seorang sarjana Islam yang penuh dengan ilmu dari zaman agung keilmuan Islam, yang dapat membawa tulisan Imam Syafie, Imam Nawawi, Al-Ghazali ke dalam kehidupan harian kita pada hari ini, dan mencari jawapan kepada persoalan-persoalan umat Islam pada hari ini tanpa meninggalkan ilmu yang telah dikumpulkan ulama-ulama sepanjang 1400 tahun perkembangan Islam – mahir dalam Bahasa Arab mahupun Latin, al-Ghazali mahupun Thomas Aquinas, seorang guru yang sentiasa tawaduk dan rendah diri, halus dan berbudi bahasa, bak kata pepatah, semakin berisi padi, semakin tunduknya ia.
Oxford University Islamic Society satu keluarga kedua – dari iftar setiap malam Ramadhan, ke solat Jumaat dan usrah setiap minggu, program-program untuk memperkenalkan Islam kepada sahabat-sahabat yang bukan Muslim, juga peringatan untuk mereka yang sudahpun Muslim. Oxford University Malaysia Club akan membantu dari hari pertama, satu jaringan pelajar baik-baik belaka, yang tidak pernah melepaskan kesempatan mengadakan majlis makan-makan, dan mengusahakan Malaysia Night setiap tahun. Abang-abang dan kakak-kakak pasca-ijazah, dengan tahlil dan tazkirah setiap tiga minggu, makanan Malaysia yang dapat mengurangkan sedikit rindu dan pilu, keluarga baru untuk bermesra dan bersalam-salaman pada Hari Raya di perantauan jauh, rumah terbuka untuk mengeratkan silaturrahim dan mengisi perut yang teringin makanan dari bumi sendiri. Dari segi masyarakat Malaysia dan Islam, janganlah risau buat sesaat pun.
Masa Lapang
Di luar masa akademik, memang tak akan habis pilihannya. Mungkin bekerja, tiga jam seminggu, menyediakan makanan untuk insan-insan yang tidak berumah? Mungkin berdiri, dua jam seminggu, di jalan yang paling sibuk di Oxford, berkempen untuk rakyat Palestin yang menderita? Mungkin memegang secawan teh setiap minggu, membincangkan diri, dunia, dan kehidupan di pejabat Oxford Muse? Menghadiri syarahan-syarahan perdana yang tidak pernah terhenti – pakar ekonomi, pakar perundangan, ahli politik, saintis-saintis, ulama dan sarjana – asalkan mencari, pasti dijumpa. Mengajar Bahasa Inggeris kepada anak pelarian dari negara yang menderita? Bermain badminton, skuasy, bola sepak, atau mungkin mengayuh? Asalkan ada kemahuan, di Oxford, pasti ada jalannya.
Bandar
Bandarnya teramatlah cantik – penuh dengan bangunan lama yang tersergam indah, diselitkan dengan taman-taman yang sentiasa membawa ucapan Subhanallah! ke lidah yang kagum dengan kebesaran ciptaan Allah s.w.t. Makanan halal tak perlu dirisaukan –
Nando’s yang halal, KFC yang halal, restoran-restoran India, empat kedai sandwic yang halal, kedai kebab setiap 500 m, restoran Itali yang halal pun ada! Dan kalau nak jimat, makanlah makanan vegetarian yang dihidangkan dalam kolej, ataupun masak sendiri pun boleh – lima penjual daging halal berniaga di Oxford, semuanya di jalan yang sama.
Saya rasa itulah, sedikit-sebanyak, yang boleh saya kongsi tentang Oxford University. Untuk seorang pelajar Muslim, saya rasa memang selesa dan betul-betul sesuai, jika hendak mengaji di sini. Jangan pedulikan mitos, jangan pedulikan suara-suara yang mengatakan bahawa untuk anda masuk Oxford itu mustahil – jika teringin mencuba, kuatkan azam, dapatkan ‘straight A’s’, sediakan diri untuk temuduga, dan berdoalah kepada Allah s.w.t., jika ditakdirkan anda sampai ke ‘the city of dreaming spires’, saya mengalu-alukan kedatangan anda. Kalau nak tahu lebih banyak tentang proses permohonan, kolej mana nak dipilih, dan hal-hal praktikal sedemikian, silalah hubungi saya.
Jika ada sebarang persoalan, hubungilah saya:
hizami.mohdiskandar@magd.ox.ac.uk
Insya-Allah, kita akan bertemu, pada satu masa dan tempat yang dipilih Allah s.w.t.
Wassalam,
Hizami
diambil dari http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=634
hmm.... nak gi Oxford.. nak gi sangat..! tapi, saye bukan A student, apatahlagi straight A student.. :'( macam mane eh? ade harapan ke..? macam takde gitu.. perbelanjaannye pon, saye tak mampu.. alahai.. sedihnye saye pikirkan perkare ni..
0 comments:
Post a Comment