Seindah Mawar Berduri (episod 6 - terakhir)



“Pak Cikkkkkkkkkkk!!!”

Asyraf menjerit sekuat hati melihat seraut wajah sugul di ruang menunggu. Tidak dihiraukan lagi akan berpuluh pasang mata yang memfokus padanya. Pak Cik Abdul Rahim terus sujud syukur di kala itu juga. Mereka berpelukan dengan penuh kasih sayang.

“Pak Cik sihat? Mana Mak Cik?” bagaikan ada seribu soalan lagi yang ingin diutarakan oleh pemuda itu.

“Asyraf, Mak Cik kau ada di dalam. Masih koma…” sayu suara itu memberikan penjelasan.

“Astaghfirullahal azhim…apa yang dah terjadi?” kusut fikiran Asyraf.

“Insyallah, tak ada apa-apa. Cuma dia tak tahan dengan perubahan cuaca di sini. Sama-sama kita doakan agar dia cepat sihat…”

Pak Cik Abdul Rahim sengaja ingin menyejukkan hati Asyraf, padahal dia sudah sedia maklum bahawa penyakit buah pinggang isterinya semakin kronik.

“Pak Cik, marilah ikut saya balik dulu. Nanti, saya akan uruskan supaya Mak Cik Zahra boleh dirawat dengan perkhidmatan doctor peribadi di rumah saya. Mari, pak cik…”

Asyraf mengangkat beg-beg besar yang tersorat di balik sudut keretanya. Pak Cik Abdul Rahim tersenyum lemah. Sejuk hatinya menemui pemuda yang dianggapnya bagaikan anak sendiri itu.
Pada malam itu, Asyraf membeli hidangan yang mahal-mahal. Sepanjang berada di Jepun, inilah tetamu yang benar-benar mampu merawat kekosongan hatinya. Tetamu yang sangat istimewa. Sambil menghadap hidangan, dia berbual panjang dengan Pak Cik Abdul Rahim. Segala cerita dikongsi bersama. Asyraf agak terkejut dengan pelbagai siri kebetulan melalui kisah pencarian Pak Cik Abdul Rahim dan isterinya di Jepun.
Sebenarnya, semua itu adalah pertolongan Allah. Benarlah janji Allah, barangsiapa yang inginkan kebaikan nescaya Allah permudahkan jalan ke arah itu. Selain itu, hanya khabar yang baik sahaja yang disampaikan oleh Pak Cik Abdul Rahim tatkala Asyraf bertanyakan keadaan keluarganya. Tidak sesekali diceritakan konflik yang tercetus antara mereka. Dia juga cuba sedaya upaya mengelak daripada berbicara tentang kebahagiaan Khazinatul Asrar bersama suaminya kerana takut menghiris hati Asyraf.

“Asyraf, pak cik tengok rumah ni tak terurus betul. Bila lagi nak carikan suri? Takkan tak tersangkut kat mana-mana gadis Jepun yang Muslimah?”

Pak Cik Abdul Rahim bergurau. Tujuannya supaya Asyraf menyedari bahawa masih ramai lagi wanita di dunia ini selain Khazinatul Asrar. Namun, tanpa disangka-sangka, wajah yang tadinya riang diarak garis-garis kesedihan. Wajah jurutera komputer itu terus berubah mendung. Gurauan itu mengundang kekecewaan.

“Pak Cik, saya akan menanti Khazinatul Asrar…” luahnya jujur.

“Asyraf, terimalah kenyataan…” pujuk Pak Cik Abdul Rahim.

“Pak Cik, saya takkan jumpa lagi gadis sepertinya! Mana nak cari ganti?! Saya akan menaruh harapan seumur hidup…” nadanya yakin.

“Masyaallah… Asyraf anakku, Khazinatul Asrar dah jadi milik orang. Tak guna menaruh harapan…sia-sia!” Pak Cik Abdul Rahim cuba mengembalikannya ke alam nyata.

“Pak cik, tiada yang mustahil dengan kuasa Allah. Setiap malam saya berdoa agar Allah cepat-cepat menarik nyawa suaminya…kerana itulah saya tetap menaruh harapan.” Antara sedar atau tidak, Asyraf bercakap bagaikan hilang rasional.

“Astaghfirullahal azhim…kau doakan begitu pada adik kau sendiri? Astaghfirullahal azhim. Berdosa mendoakan keburukan untuk orang lain! Asyraf…pak cik kenal anak pak cik, Asrar memang tak suka berkawan dengan lelaki kalau tiada urusan.
Tapi, dia memang boleh berkawan dengan kau kerana dia memang dia menganggap kau bagaikan abang kandungnya sendiri. Tak bolehkah kau menganggapnya sebagai adik kandung? Asyraf, redhoilah adikmu dijaga oleh lelaki yang memang dipilih Allah untuknya…” dipujuk lagi pemuda itu. Terpaksa juga perbualan yang pada mulanya penuh mesra melencong kepada seorang gadis bernama Khazinatul Asrar.

“Pak cik, 4 tahun saya menanti Khazinatul Asrar di United Kingdom. Bagi saya, semua wanita tak boleh mendapat tempat di hati saya kerana ianya milik Khazinatul Asrar. Dialah bidadari hidup saya. Ketegasannya dalam menerima lelaki telah meruntuhkan sikap playboy saya selama ini. Dia membuka minda saya tentang mahalnya harga seorang wanita untuk dipermainkan. Hidup saya lebih bermakna apabila saya dikenalkannya dengan hakikat cinta yang mesti disandarkan pada Pencipta. Adilkah Khazinatul Asrar meninggalkan saya setelah peribadinya benar-benar menambat hati ini?”

Asyraf memuntahkan rasa kecewanya, kemudian menyambung lagi,

“Dah beberapa kali saya melamarnya melalui surat dari UK. Saya sedaya upaya meyakinkannya bahawa saya serius. Tak bergurau! Dia suruh saya sandarkan pada Allah dan berdoa. Dia juga menasihatkan saya agar kurangilah menghubunginya kerana ingin menjaga rahmat Allah dan mengelak dari fitnah hati. Yakin dengan Allah…itulah kata azimatnya. Saya akur dan yakin bahawa selagi saya didik diri sendiri menjaga redho Allah, selagi itulah wanita yang diredhoi-Nya dijanjikan untuk saya. Ianya satu harapan yang cukup bermakna dari Khazinatul Asrar…Tapi akhirnya? Apa semua ni? Saya tak boleh terima…” luah Asyraf, sebak.

“Asyraf, kau sebenarnya masih ada krisis dengan keyakinan kepada Allah, lantas Asrar yang kau persalahkan…” pedas kata-kata itu.

“Krisis keyakinan? Mustahil! Allah adalah segala-galanya dalam hidup saya…” Asyraf membela diri.

“Bercakap memang senang… beginikah sikap seorang hamba yang mengaku Allah adalah segala-galanya? Ciptaan Allah lebih dipuja daripada Pencipta-Nya sendiri. Khaziantul Asrar tu sesuatu yang tidak pasti, manusia biasa yang akan pergi. Apabila Allah menariknya dari kamu, kau harus yakin dengan Allah. Allah lebih bijaksana dengan perancangan-Nya. Manusia hanya mampu merancang, Allah Yang Maha Adil lah yang menentukan.. setiap taqdir Allah ada hikmahnya. Allah tak sesekali sesuka hati menganiaya hamba-Nya. Dia Maha Pengasih. Kamu seharusnya mentarbiyyah diri kerana cinta Allah bukannya kerana harapkan cinta Khazinatul Asrar. Asyraf, yakinlah…kalau kau benar-benar ikhlas dan yakin dengan Allah, pasti Allah akan menggantikan cinta manusia yang boleh dekatkan kamu pada-Nya. Gadis yang terbaik untuk kamu. Pak cik faham, mungkin kau rasa Khazinatul Asrar adalah gadis terbaik yang pernah kau kenali tapi tak semestinya dia adalah gadis yang terbaik untuk kamu. Allah lebih bijak untuk memilih seorang gadis terbaik untuk kamu dan Asrar hanya terbaik untuk suaminya. Aturan Allah juga yang terbaik….Bukankah itu azimat Khazinatul Asrar?! Terimalah ketentuan-Nya!”

Asyraf terdiam seketika tatkala ditazkirah dengan panjang lebar. Matanya berkaca. Sarat dengan air mata. Air mata seorang lelaki.

“Asyraf, setiap malam Asrar beristikhoroh untuk memilih teman hidup. Ramai lelaki yang cuba memenangi hatinya. Dia yakin Allah lah yang akan membuat keputusan untuknya melalui penyerahannya yang bersungguh-sungguh pada Allah. Dia redho dengan sesiapa sahaja yang ditunjukkan Allah buatnya. Hatinya diserahkan bulat- bulat pada Allah sebelum sedia menerima cinta lelaki. Akhirnya, nama Mustaqhim Al- Qordhowi yang sering terbisik-bisik di pendengarannya. Dia redho dengan istikhoroh yang dibuatnya kerana itulah kehendak dan petunjuk Allah,” tambah Pak Cik Abdul Rahim pula.

“Pak cik, dia memang sekuntum mawar berduri yang dipelihara Allah. Cintanya disandarkan pada Allah…tak hairanlah Allah turut membalas cintanya dengan lelaki yang turut dicintai-Nya. pak cik, maafkan saya…” akhirnya pemuda itu tunduk jua. Dai akur pada realiti.

“Pak cik, tentu Mustaqhim Al-Qordhowi hebat, kan? Kalau tak, masakan dia mampu memenangi hati Khazinatul Asrar..” luah Asyraf.

“Asyraf, ramai kawan-kawannya bertanyakan soalan yang sama ketika majlis perkahwinannya dulu. Tahu apa jawapannya?” ayah Khazinatul Asrar membuka cerita. Tiada ketegangan lagi antara mereka.

“Put your trust in Allah! Itu saja jawapannya…” kata Pak Cik Abdul Rahim.

“Yakin dengan Allah…itu pula kata-kata azimat Khazinatul Asrar, kan pak cik?!” Asyraf menyampuk.

“Sebenarnya, sejak awal memasuki awal kampus lagi mereka dah mula saling mengenali kerana perjuangan yang sama. Sejak itu juga mereka saling menghormati dan mengagumi antara satu sama lain. Tapi, Mustaqhim Al-Qordrowi tidak terburu- buru untuk memenangi hati Khazinatul Asrar. Akalnya mengatasi nafsu kerana kesedaran bahawa selagi belum bersedia berumah tangga, selagi itulah langkah untuk mencintai wanita adalah sia-sia. Penuh kelalaian dan warna-warni syaitan. Dia amat menyukai Asrar sejak awal perkenalan lagi, tapi dia sedar Allah lebih mengetahui adakah Asrar diciptakan untuknya atau tidak. Dia tak mahu mencintai wanita yang bukan diciptakan untuknya. Oleh itu, dia bermujahadah melawan kemahuannya yang meronta-ronta untuk meluahkan sesuatu pada Asrar. Tempoh masa sebelum bergelar ‘orang yang bersedia’ adalah sekejap cuma. Kadangkala, dia tercabar dan bimbang apabila nama Asrar menjadi siulan. Hinggalah perasaannya terdesak untuk meluahkan jua. Namun, hanya di tahun akhir, dia memberanikan diri menghantar risalah-risalah yang mendidik ruhiyyah, tauhid, fikrah dan harakah. Itulah tanda cintanya. Mereka juga bercinta sebenarnya tapi dihijab oleh hijab yang tebal kerana takut rumahtangga yang dibina atas landasan kemurkaan Allah. Lihatlah keadilah Allah untuk cinta setulus ini. Mereka mengecapi cinta yang diredhoi selepas kahwin. Mereka menang dalam mujahadah. Dalam menyukai seseorang, ingatlah segala perbuatan yang melalaikan dan menjauhkan hati dari Allah, selagi belum berkahwin, ianya adalah haram. Tapi, yang haram itu sekejap cuma. Lepas kahwin, halallah… sebab itu kena sabar dan kuat.”

Panjang sekali Pak Cik Abdul Rahim bercerita.

“Wah, arifnya pak cik tentang cinta! Mana pak cik dapat cerita Mustaqhim dan Asrar ni?!” Asyraf beransur ceria.

“Eh, Khazinatul Asrar tu kan satu-satunya puteri pak cik! Dah tentu setiap inci hidupnya pak cik ambil tahu. Lagipun, Mustaqhim memang tak berahsia dengan kami….” Balas Pak Cik Abdul Rahim.

“Pak cik boleh jadi contoh ayah dan mertua mithali,”

Asyraf mengusik ayah Khazinatul Asrar. Wajahnya berubah ceria. Sifatnya yang suka mengusik kembali menghiasi. Hatinya lembut. Kedua-duanya tidur jauh di lewat malam. Keletihan mengulit lena Pak Cik Abdul Rahim. Namun, suara rintihan seorang lelaki sedikit mengganggu tidurnya. Dalam kesamaran dia sempat juga menangkap seungkap doa Asyraf yang sedang sujud bertahajjud di sebelah katilnya.

“Ya Allah, Engkau telah takdirkan, dia bukan milikku… bawalah dia jauh dari pandanganku, luputkanlah dia dari ingatanku…dan peliharalah aku dari kekecewaan. Ya Allah, ya Tuhanku Yang Maha Mengerti, berikanlah aku kekuatan, menolak bayangannya jauh dari hidupku..”



((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))



“Pak Cik, Mak Cik macam mana?”

Asyraf bersuara lembut sebaik sahaja wanita berwajah lembut itu perlahan-lahan membuka mata. Badannya masih lemah terbaring di katil hospital.

“Asyraf? Asyraf ke ni? Mak Cik bermimpi?”

Mak Cik Zahra minta kepastian sambil tangannya digosok-gosok ke mata.

“Ini Asyraf mak cik. Mak cik tak bermimpi!” Asyraf mengukir senyuman.

“Oh, Asyraf! Mak cik rindukan kamu….kamu sihat?” ceria wajah penyayang itu.

“Alhamdulillah, saya sihat. Saya minta maaf sebab menyusahkan keluarga mak cik. Ampunkan saya!” Asyraf memang cukup kesal.

“Tak ada apa yang perlu dimaafkan. Asyraf, pulanglah ke Malaysia. Tak baik membiarkan mak dan ayah kamu rindu. Kasihan mereka,” seakan suatu rayuan. Asyraf tertunduk.

“Maafkan saya, mak cik. Biarlah saya fikirkan dulu. Namun, saya tahu Malaysia tetap negara saya. Keluarga saya di sana….” Asyraf bersuara perlahan.

“Ramai orang yang sedang menunggu kamu pulang…pulanglah!” Mak Cik Zahra merayu lagi.

“Err…bila mak cik dan pak cik nak balik ke Malaysia?” Asyraf bertanya.

“Tak pasti lagi, Asyraf. Lepas ni, kami nak buat umrah di Mekkah. Mak cik tak nak lama di Jepun, Mak cik tak tahan dengan musim salji…” terang mak cik Zahra.

“Tapi…tahan ke mak cik dengan suhu panas di Mekkah nanti?”

Asyraf mengingatkan.

“Panas Mekkah penuh baraqoh! Mak Cik tak kisah… mati di sana pun, tak mengapa. Lagi baik…” tenang wajah mak cik Zahra.

“Eh, mana pak cik kau?” wajah suami tersayang berlegar-legar di fikiran.

“Pak cik ada berehat di rumah saya. Saya datang ni pun sebab nak jemput mak cik. Insyallah, saya akan dapatkan rawatan peribadi untuk mak cik nanti.”



((((((((((((((((((((((((((((()))))))))))))))))))))))))))))))



“Bang, tak sabar rasanya nak sampaikan berita nie pada ummi dan abah, tentu mereka bersujud syukur. Asrar dah dapat imagine, cerianya wajah-wajah ummi dan abah nanti…”

Khazinatul Asrar mengomel manja di sisi suaminya. Mereka dalam perjalanan pulang dari Tanah Suci Mekkah.

“Banyakkan bersyukur…paktikan Asrar cukup halus menjaga maksiat hati agar si comel kita dipelihara Allah dari karat mazmumah. Dampingi Al-Quran selalu agar itulah yang menjadi hujjah hidupnya nanti. Sejak di alam rahim, kenalkanlah dia pada ibadah hati dan fizikal, agar dia rasa lazat bersama Penciptanya. Mudah-mudahan lahirlah dia sebagai zuriat yang soleh. Rasulullah cukup berbangga tiap kali umatnya lahir, moga-moga bakal mewarisi perjuangan Baginda,” pesan seorang nakhoda bahtera rumahtangga.

Sebelum berangkat pulang, ayahbonda Mustaqhim Al-Qordhowi beberapa kali sujud di Baitul Haram. Cucu dari anak lelaki bungsunya itu cukup dinanti-nantikan. Mereka terharu kerana menerima berita Khazinatul Asrar mengandung selama sebulan di bumi barokah tersebut. Khazinatul Asrar termuntah-muntah dalam tudungnya tatkala bertahajjud di Masjidil Haram. Badannya lemah longlai, tak bermaya. Mulanya, ingatkan dia cuma demam, rupa-rupanya doktor mengesahkan bahawa dia alahan kerana mengandung. Di lapangan terbang, kepulangan mereka disambut oleh puluhan sanak saudara. Khazinatul Asrar gembira kerana Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh pun turut serta. Maha luasnya rahmat-Mu, Ya Allah!

“Mana ummi dan abah?” bisik hatinya sambil meninjau-ninjau dua wajah tercinta itu dari celahan manusia.

Ibu Mustaqhim Al-Qordhowi pula begitu exited mengumumkan berita gembira tentang menantunya. Khazinatul Asrar tersenyum manis sambil menggenggam erat jari jemariibu mentuanya. Suasana bertambah meriah dengan berita itu. Mak cik Nab menghampiri Khazinatul Asrar sambil memohon maaf. Dipeluknya gadis itu. Pak Cik Soleh pula tersenyum malu pada Mustaqhim Al- qordhrowi. Mustaqhim Al-qordhrowi terlebih dahulu menghulurkan tangan, bersalaman dengan Pak Cik Soleh. Awan mendung berarak sudah, terjalin kembali ukhuwwahfillah, yang takkan lagi musnah, walau ombak badai dating mendesah, tautan erat tak mungkin patah.

“Ummi dan abah tak datang?” soalan yang sudah sedia diduga oleh semua sanak saudara yang mengerumuni mereka.

Seorangpun tidak tampil memberikan jawapan. Malah ada yang mula berlawak jenaka agar soalan itu berlalu tanpa jawapan. Mak Cik Nab cepat-cepat mengajak pulang. Enam buah kereta siap menanti.

“Mungkin ummi dan abah menanti di rumah!” pujuk hati kecil Khazinatul Asrar.

Hatinya begitu melaonjak untuk mengucup tangan dan pipi keduanya bersama sebuah berita gembira.

“Mustaqhim, Asrar…apa kata kalau ke rumah kakak, boleh?!” ajak Kak Mukminah, kakak sulung Mustaqhim Al-qordhrowi yang dah pun mempunyai lima orang anak.

Pintu keretanya dibuka untuk mempersilakan adiknya masuk bersama isteri. Ayahbonda Mustaqhim Al-qordhrowi sudah pun masuk ke kereta Kak Muslimah, anak kedua mereka yang sudah 3 tahun berumah tangga dengan seorang warga Pakistan. Muslimah tinggal sementara bersama ayahbondanya di Bandar Al-Muktafi Billah Syah sementara menanti suaminya yang menguruskan urusan perpindahan di Pakistan.

“Eh, Mak Cik Nab dah masak sedap-sedap. Balik rumah kami sajalah..” pelawanya bersungguh-sungguh.

“Terima-kasihlah semua. Asrar rasa nak balik rumah Asrar dulu… boleh kan, bang? Kasihan ummi dan abah yang dah lama menanti di rumah,” pelawaan itu ditolak baik. Mereka terdiam lagi.

Akhirnya, Pak Cik Soleh dan Mak Cik Nab menghantar mereka pulang ke rumahnya yang sepi tak bertuan. Khazinatul Asrar dan suaminya tertanya-tanya melihat rumahnya rapat berkunci. Akhirnya, Mak Cik Nab berani membuka mulut, menceritakan apa yang telah berlaku. Nadanya sebak dan rasa bersalah.

“Apa? Ummi dan abah ke Jepun? Semata-mata mencari Abang Asyraf?! Ya Allah, lindungilah mereka…”

Khazinatul Asrar cuba mengawal perasaan. Kolam matanya tidak mampu lagi menyeka banjir air mata.

“Bila ummi dan abah akan pulang, mak cik?” soalnya kesayuan.

“Sayang…kita masuklah dulu. Kasihan pak cik dan mak cik berdiri di luar begini. Abang ada kunci spare ni,”

pujuk seorang suami. Khazinatul Asrar akur. Dioraknya langkah lemah. Di ruang tamu, ada sekeping manila card menyambut kepulangan mereka di atas meja tamu. Tulisan abah tertera di situ…

“ASSALAMUALAIKUM. SELAMAT PULANG PENYERI KELUARGA! MAAFKAN ABAH DAN UMMI KERANA KAMI RASA MUNGKIN KAMI TAK SEMPAT MENYAMBUT ANAKANDA BERDUA DARI TANAH SUCI. MUSAFIR KAMI ADALAH MUSAFIR YANG MUNGKIN PANJANG. DOAKAN AGAR ALLAH MEREDHOI ABAH DAN UMMI DAN DOAKAN AGAR KAMI BERJAYA MENCARI ASYRAF DEMI MENJALINKAN KEMBALI SEBUAH PERSAUDARAAN…KERANA ALLAH!”

LOVE, ABAH DAN UMMI. _____________________________________ ________________________________

Bertambah sayu sekeping hati seorang anak. Mak Cik Nab dan Pak Cik soleh juga turut sebak menahan pilu. Mereka benar-benar rasa bersalah dan berdosa terhadap keluarga itu. Lantaran itu, berulang-ulang kali mereka memohon maaf, sementara Khazinatul Asrar dan suami berulang kali juga melarang mereka agar tidak memohon maaf lagi. Tiada maaf yang perlu diberikan kerana mereka tak pernah menyimpan dendam. Persaudaraan dan berkasih sayang adalah prinsip keluarganya.

“Abah, ummi…Asrar akan menanti kepulangan abah dan ummi! Begitu juga kandungan Asrar ini. Abah…ummi… Asrar terlalu rindukan abah dan ummi, pulanglah…” monolog Asrar sendiri.

“Mungkin Allah atur ujian ini untu mengajarku lebih berdikari sebagai seorang isteri tanpa abah dan ummi. Allah Maha Perancang, aku redho…” pujuk hati Khazinatul Asrar, berbaik sangka dengan Allah.



(((((((((((((((((((((((((((((()))))))))))))))))))))))))))))))



“Mummy, kalau boleh Hijriah nak jemput sendiri Khazinatul Asrar ke majlis perkahwinan Hijriah nanti. Boleh tak mummy temankan Hijriah ke sana hujung minggu ni…ala, bolehlah Mummy!!” Hijriah cuba memujuk ibunya.

“Kawan Hijriah, Humaira’ tu pun nak ikut sekali. Kami dah rindu sangat kat Khazinatul Asrar,” terus memujuk.

“Nanti Mummy check balik diari Mummy, rasa macam ada appointment dengan client Mummy this weekend…” begitulah gaya wanita berkerjaya.

“Never mind.. Daddy boleh bawakan,” pelawa dady Hijriah tanpa dipinta.

“Betul ke ni, Daddy? Eh, macam tak caye!”

Hijriah melonjak keriangan. Daddynya betul-betul berubah sikap sejak dirinya bakal diambil orang. Masakan tidak, lelaki separuh abad bergelar Dato’ itu sebenarnya cukup bimbang kalau-kalau anak tunggalnya itu di bawa ke Libya. Sepilah banglo itu nanti, tiada erti lagi segala kemewahan.

“Tentu Asrar terkejut kalau datang dengan surprise...”

Hijriah tersenyum nakal sambil bercakap dengan diri sendiri. Terus sahaja dicapai ganggang telefon untuk menyampaikan plan itu pada Humaira’.

“……”

Suatu suara garau bergema di muka pintu pagar Mak Cik Nab.

“Alif, Aina, Alim, Kak Ngah…pergilah tengok siapa yang datang tu. Mak tengah masak ni,” laung Mak Cik Nab dari ceruk dapur.

“Alif tengah sibuk ni…abang Alim tu relex-relex je!” suara Alif pula melaung kuat sambil sibuk bermain game.

“Apa pulak…Alim tengah makan ni!” si alim pula memberi alasan sambil makanan ringan Mamee Monster itu dirangupnya satu persatu.

“Ha…ha…jangan nak suruh Aina pulak. Aina tengah temankan si Tompok ni. Dia takut main sorang-sorang nanti bapaknya gigit,” cepat-cepay Aina memberi alasan sambil dipusing-pusingnya tali benang supaya ditangkap oleh anak kucing kesayangannya.

“Mak, Kak Ngah tengah tidur ni…adik-adik tu pemalas, cubit jea!” gadis remajanya pula yang mencecah Tingkatan Tiga memekik dari dalam bilik. Serentak dengan itu sebuah kereta meluncur ke perkarangan pintu pagar. Hon dibunyikan berkali-kali.

“Eh, tu kereta ayah!” spontan sahaja Alif, Aina, Alim dan Kak Ngah meluru keluar.
Takut dimarahi nanti. Kelihatan di luar pagar sana, ayah sedang berpelukan dengan seseorang. Berkeriuk dahi mereka melihat telatah ayah.

“Eh, abang Long!!!!” jerit Alim tiba-tiba.

Semuanya riuh rendah menjerit memanggil-manggil nama abang mereka. Mak Cik Nab sangat terkejut, lantas meninggal sahaja ayam goreng yang masih tercelup dalam minyak panas di atas dapur, tergesa-gesa dia meluru ke luar.

“Ya Allah, Asyraf??!!” Mak Cik Nab seakan tidak percaya.

“Mak, Asyraf mintak maaf! Ampu kan Asyraf…” tangan ibunya dikucup mesra.

“Syukurlah kau dah balik, Asyraf. Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim kau tentu balik sekali, kan?!” nada Mak Cik Nab berbaur harapan.

“Tak, mak! Mereka terus berangkat ke Tanah Suci…” jelas Asyraf. Badannya yang letih direbahkan ke sofa empuk.

“Iya?! Oh..kasihan Asrar terlalu merindukan mereka!” kesal Mak Cik Nab.

“Ini semua salah ayah...” Sesalan demi sesalan masih menghantui Pak Cik Soleh.

“Tak, ayah! Sayalah puncanya!”

Asyraf membela ayahnya. Pak Cik Soleh tetap menyesali perbuatannya terhadap keluarga itu sambil menceritakan segalanya kepada Asyraf. Asyraf terkedu seketika.

“Mulianya hati Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim. Mereka tak pernah menceritakan apa-apa keburukan tentang mak dan ayah sepanjang di sana. Khabar baik-baik sahaja mereka sampaikan,” luah asyraf. Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh tertunduk malu. kesal.

“Eh, bau apa ni?” ayah Asyraf tiba-tiba menyedari suatu bau yang menusuk hidung. Hangit.

“Err…jangan suruh Kak Ngah. Kak Ngah nak tolong angkat beg abang Long ni,” gadis belasan tahun itu cepat-cepat berlalu sambil mengangkat beg berat abangnya.

“Kau tengoklah adik-adik kau, Asyraf,” ibunya berleter sambil bergegas ke dapur. Asyraf memandang adik-adiknya yang comel.

“Ooo…abang Long tak de, semua nakal yea!” mulalah adik-adiknya bising membela diri. Asyraf menggeleng-gelengkan kepala.

“Ayah, esok saya nak ziarah Asrar dan suaminya. Saya sedar kini, dia bagaikan adik kandung saya sendiri. Saya rasa bersalah pada Mustaqhim,” kata Asyraf.

(((((((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))))))))

Sebuah kereta Mercedez Benz mewah berwarna silver metallic diparking di perkarangan rumah Khazinatul Asrar.

“Mungkin dia ada tetamu,” bisik hati kecil Asyraf.

Setelah difikir beberapa kali, dia meneruskan juga niatnya untuk menziarahi Khazinatul Asrar sekeluarga. Apatah lagi, adiknya itu sudah tentu terlalu ingin mengetahui khabar abah dan umminya. Seperti kedatangan Hijriah, kedatangan Asyraf sangat memeranjatkan Khazinatul Asrar dan suaminya. Semuanya datang dengan tiba-tiba. Berdegup kencang jantung Khazinatul Asrar untuk mendengar berita abah dan umminya yang tidak pulang bersama Asyraf dari Jepun. Namun, sebagai adab melayan tetamu, dia mempersilakan dulu Asyraf duduk. Tidak terburu-buru untuk bertanya. Kemudian, diperkenalkan Asyraf kepada daddy Hijriah, Hijriah dan juga Humaira’.

“Asrar, abang minta maaf atas semua yang berlaku,”

Asyraf sudah tidak mampu lagi menahan rasa bersalah walaupun di depan tetamu lain.

“Tidak, abang Asyraf! Bukan silap abang. Semuanya kehendak Allah. Bagaimana ummi dan abah, mereka sihat?” Tanya Khazinatul Asrar bersopan.

“Alhamdulillah….Cuma, Mak Cik Zahra yang kurang tahan dengan perubahan cuaca. Apatah lagi di musim salji. Tapi, sekarang mereka tak berada lagi di Jepun, mereka dah pun ke Tanah Suci Mekkah.” Jelas Asyraf. Khazinatul Asrar tenang mendengarnya.

“Sama-samalah kita doakan mereka…”

Mustaqhim Al-Qordhrowi menambah. Asyraf pantas merenung wajah yang bercahaya dengan nur keimanan di sisi Khazinatul Asrar.

“Mustaqhim…saya pun ingin minta maaf dari kamu kerana banyak menyusahkan. Insyallah, saya datang kali ni sebagai abang kandung Asrar. Kita kan tetap bersaudara…” tutur katanya sarat dengan keikhlasan. Semuanya tersenyum.

“Nanti, jemputlah sekali ke rumah!” daddy Hijriah yang berpangkat Dato’ itu menghulurkan kad perkahwinan anaknya kepada Asyraf.

Asyraf ceria mencapai kad itu dan menatapnya seketika. Kemudian, pandangannya beralih pada dua orang gadis di sebelah lelaki yang agak berusia itu. Kedua-duanya manis berbusana Muslimah. Dijelingnya pula jari-jemari mereka. Salah seorangnya memakai cincin berlian di jari manis. Itulah Hijriah seperti yang diperkenalkan sebelumnya. Degupan jantungnya tiba-tiba berdeguk agak kencang tatkala menyedari gadis di sebelah Hijriah itu tiada sebentuk cincin pun menghiasi jari sebagai tanda diri yang belum berpunya. Namun, Asyraf tidak berani mengangkat pandangannya terlalu lama. Bimbang kalau- kalau menimbulkan maksiat pada hati. Apatah lagi, tabir aurat yang menghijab diri menimbulkan rasa hormat buat mana-mana lelaki. Salah satu ciri-ciri mawar berduri. Pertemuan yang tidak dirancang itu semuanya telah menjadi perancangan Ar- Rahman. Dia Maha Berkuasa mentaqdirkan apa sahaja. Yang pasti, Dia Maha Penyayang terhadap hamba-Nya.

“Mungkin, dia seindah Aisyah Al-Humaira’ untukku…” bisik hati kecil Asyraf.

(((((((((((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))))))))))))))

Rahmat Allah yang melimpah-limpah begitu terasa. Pak Cik Abdul Rahim bersyukur kerana kali ini, di tengah-tengah lautan manusia dia berpeluang mencium Hajaratul Aswad. Dingin pagi yang menanti kehadiran fajar as-siddiq, mencengkam ke tangkai naluri. Langit gelap yang tak berawan menambahkan lagi kedinginan subuh.

Meskipun begitu, jutaan manusia yang bergelar hamba tidak tergoda dengan lena, masing-masing lunak dalam esak tangis mendambakan keampunan Pencipta. Terasa hangat bahang keagungan Allah, pemilik kerajaan alam semesta. Dalam kelazatan rintihan dengan nikmat ketenangan, tiba-tiba bauan harum semerbak daripada kuntuman-kuntuman mawar menyelinap masuk ke rongga hidungnya. Mata yang sejak tadi terpejam khusyuk, dibuka perlahan-lahan. Jemaah umrah di kiri dan kanannya tidak menunjukkan respond apa-apa. Terus khusyuk menghadap Khaliqnya. Bagaikan dia seorang sahaja yang tercium haruman wardah itu. Bauan itu sepintas lalu dibawa angin dingin. Perlahan-lahan pandangannya beralih pula ke kaabah yang tersergam megah dan indah.

Gemersik dedaunan Raihan dengan irama mengasyikkan…bermain-main di pendengarannya. Tiba-tiba, kelihatan di dada Kaabah terskrin secara samar-samar wajah seorang wanita yang cukup dikenali, cukup disayangi. Wajah itu indah bermandikan seri, penuh perhiasan yang melengkapi, bagaikan bidadari dari Taman Firdausi. Itulah wajah isteri tercinta, ibu yang telah melahirkan Khazinatul Asrar untuknya. Manis wajah itu mengukir senyuman. Semakin lama, semakin menghilang lalu luput dari pandangan. Segalanya berlalu pantas. Lama Pak Cik Addul Rahim terpukau dengan peristiwa ajaib yang dilaluinya di awal Subuh di Tanah Suci…sehinggalah azan Subuh mendayu-dayu kedengaran dari menara-menara yang terbina kukuh di sudut-sudut Masjidil Haram. Selepas mendirikan solat Subuh berjemaah bersama jutaan Ummat Islam, dia bergegas ke hotel penginapan untuk menyampaikan berita menakjubkan itu kepada isterinya.

“Zahra, wajahmu dimuliakan Allah, terskrin di dada kaabah!” lonjak hatinya.

Setibanya di hotel, sarapan untuk jemaah umrah sudah sedia menanti, namun isterinya masih belum pulang dari Masjidil Haram. Sabar lelaki itu menanti.

“Mungkin dia solat sunat Syuruk seterusnya menunggu Dhuha,” fikirnya.

Lama waktu penantiannya….berjam-jam. Diisi dengan tasbih dan zikir. Jantungnya asyik berdebar-debar. Entah mengapa… Tak lama kemudian, muncul kelibat seseorang. Pengurus jemaah umrah Malaysia rupanya. Lelaki itu berjalan ke arahnya.

“Encik ni, Abdul Rahim bin Abdullah?”

Tanya pengurus itu.

“Ya, saya!” jawab Pak Cik Abdul Rahim tersenyum mesra.

“Err, suami kepada Puan Zahra binti Muhammad?” tanyanya lagi.

“Ya, ya…” balasnya, makin tersimpul senyuman.

Rupa-rupanya, kehadirannya bersama satu berita. Seorang jemaah umrah Malaysia telah dipanggil menghadap Allah buat selama-lamanya. Nyawanya diangkat di Masjidil Haram.

“Zahra meninggal dunia???” satu hakikat yang sukar ditelan. Perginya takkan kembali lagi, meninggalkan semua yang menjadi kesayangan, membakar tiap kerinduan dan kasih sayang.

“Allahyarhamah mati dalam keadaan memangku al-Quran setelah solat Tahajjud,”

jelas pengurus itu lagi. Dada Pak Cik Abdul Rahim berombak kencang. Dia cuba mengumpul ketabahan dan kekuatan.

“Innalillahi wainna ialihi rojiu’n…” manik-manik jernih gugur membasahi pipinya satu persatu. Kolam matanya tewas menentang arus kesedihan.

“Beratnya ujian ini…Oh, Tuhan!!!” dadanya sedih menahan sebak.

“Zahra, kau pinjaman Allah! Abang redho dengan kuasa Allah menarik balik pinjaman- Nya. sedangkan Rasulullah juga berpisah dengan Khadijah tercinta…Al-Fatihah,” bisik hatinya penuh sayu dan hiba.

Pipinya banjir dibasahi air mata. Jenazah ibu Khazinatul Asrar selamat disemadikan di Bumi Barakoh, Mekkah Al-Mukarromah. Beruntunglah dia kerana disembahyangkan oleh lautan para jemaah umrah. Tenang wajah Allahyarhamah di saat kematian.

“Ya Allah, golongkan dia bersama golongan yang Kau redhoi kerana dia isteri yang solehah. Jadikan dia sebagai bidadariku andai aku layak untuk syurga-Mu..amin ya Rabbal A’lamin.”

Doa kudus seorang suami mengakhiri tawaf wida’ sebelum berangkat dari Tanah Suci. Hatinya berbisik lagi,

“Khazinatul Asrar puteriku, maafkan abah kerana pulang tanpa ummi bersama. Semoga kau akan tabah menerima suratan ini nanti. Abah dapat rasakan, betapa pilunya hatimu duhai puteriku kerana tak dapat lagi melihat ummi untuk selamanya. Ummi milik Allah, anakku…Allah lebih menyayanginya. Abah terpaksa tinggalkan jenazah ummi di Bumi Barakoh ini, namun sifat penyayang ummi tetap abah bawa pulang bersama. Moga, kaulah nanti yang mewarisi keindahan ummimu sabagai hiasan duniawi seorang suami, seindah mawar berduri……..”

Dan air mata lelakinya tumpah lagi.

DEMIKIANLAH, SEINDAH MAWAR BERDURI…..

Ku damba kasih Ilahi…

FATIMAH SYARHA MOHD NORDIN

Seindah Mawar Berduri (episod 5)




“Nak kata saya bercinta…tak jugak! Sebabnya, sebelum dia melamar saya, saya tak pernah menganggapnya lelaki teristimewa kerana masih ada kemungkinan bahawa dia bukanlah lelaki yang diciptakan untuk saya. Jadi, Alhamdulillah…. terjagalah sikit hati saya dari terkenang-kenangkan padanya. Setelah hampir habis belajar, dia cepat-cepat menghubungi ummi dan abah saya di kampong. Saya dah beberapa kali istikhorah dan hati saya terasa cukup terbuka untuk menerimanya. Lagipun, abah saya menasihatkan……. kalau dah terlalu banyak sangat ujian dan fitnah dari lelaki baik percepatkan saja walimah . Saya akur…..”

“Patutlah awak bagaikan tak pernah bercinta walaupun sebenarnya bercinta…..err..perkahwinan awak ni nanti pun akan diasrarkan (rahsiakan)?”usik Hijriah.

“Ish, tak de lah. Buat apa nak disorok-sorokkan ikatan yang sah di sisi syaro’. Malah perkahwinan perlu diiklankan untuk merasmikan hubungan. InsyaAllah, seluruh warga UKM akan menerima undangan saya nanti…” jelas Khazinatul Asrar.

“MasyaAllah…tentu kecoh UKM dengan berita ini nanti. Harap-harapnya tak adalah kes mana-mana siswa yang bunuh diri sebab kecewa dengan awak,” Hijriah mengusik lagi.

“Nau’zubillah. Semoga Allah takkan jadikan saya asbab kepada kebodohan mana-mana lelaki,” Khazinatul Asrar memberikan respond yang serius.


(((((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))))))))


Majlis konvensyen pada tahun itu disambut secara gilang-gemilang. Upacara tahunan itu memang meriah diadakan pada setiap tshun. Pra graduan kelihatan begitu gembira dan bangga diiringi keluarga terutamanya ayah dan bonda.
Masing-masing juga begitu bergaya menggayakan jubah konvo di atas gahnya menara gading. Senyuman, pujian dan gelak ketawa saling bersebati menyerikan lagi suasana penuh keriangan pada hari bersejarah itu.
Kelihatan Tsabit bersama ayahnya yang berdarah Libya serta ibunya, Datin Nordina baru sahaja menuju masuk ke erkarangan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kereta mewah itu mencari tempat parking betul-betul di Taman Tasik Kejuruteraan.

Keluarga Hijriah juga ada disitu seperti telah dirancang. Memang semuanya suatu perancangan. Pada hari konvokesyen yang penuh makna itu, Tsabit El-Husainie dan Hijriah akan diikat dengan jalinan pertunangan. Hijriah lebih-lebih lagi merasa gembira dan bersyukur kerana sejak keluarga Tsabit datang merisik dirinya pada cuti panjang yang lalu, mummy dan daddynya mula menunjukkan perubahan positif terhadap dirinya kerana mereka mula merasakan bahawa Hijriah akan pergi daripada mahligai mereka yang dah pun setiasa sepi. Buktinya, daddynya sanggup membatalkan satu mesyuarat penting demi menghadiri hari yang membahagiakan anaknya itu.

“Marilah kita mulakan pertukaran cincin…,” getus Datin Azlinda, mummy Hijriah. Dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melihat jari manis anak gadisnya diserikan berlian.

“Nantilah mummy… tetamu yang paling istimewa untuk majlis ini belum tiba lagi.
Betul tak, abang Tsabit?!” Hijriah memujuk ibunya sambil pandangannya sejak tadi meninjau-ninjau seseorang. Tsabit cuma tersenyum.
Tidak lama kemudian, sepasang mawar dan kumbang yang diapit kedua keluarga kedua-dua pasangan berjalan menuju ke arah tempat keluarga Tsabit dan Hijriah berkumpul. Pasangan itu kelihatan begitu romantis berpegangan tangan.
Masing-masing berjubah konvo. Pada wajah masing-masing terpancar sinar kebahagiaan. Pasangan itulah yang mereka nanti-nantikan.

“Aku pasrah jika kumbang sehebat ini akan menemani hidupmu duhai mawar berduriku,” bisik hati Tsabit sendirian mengubat luka hatinya yang kian sembuh itu.

“Asrarrrrr…” Hijriah menjerit kecil, meluahkan lonjak hatinya.
“Nak honeymoon kat mana?” usik Hijriah sambil bersalam berpelukan dengan sahabat yang cukup dirindui sekian lama.

“Honeymoon? Alah..cukuplah sekadar kami buat umrah sama-sama beberapa bulan lagi. Yelah nak cari keberkatan untuk rumah tangga kami,” jelas Khazinatul Asrar.

“Hah Hijriah…bila pulak giliran kamu? Jangan sampai Asrar tak sempat nak dating pula,” Puan Zahra, ibu Khazinatul Asrar juga pandai mengusik sambil menguntum senyuman kepada Datin Azlinda.

“Apa sal tak sempat pulak makcik?” duga Hijriah dengan usikan itu.

“Eh? Asrar tak cakap ke yang hujung tahun nie dia dan suaminya akan berangkat ke Mesir untuk menyambung pelajaran dalah bidang Falsafah Islam?!” Puan Zahra membongkar perancangan Khazinatul Asrar dan suaminya.

“Betul ke nie?” Hijriah minta kepastian.

“InsyaAllah..tapi ianya masih dalam perancangan! Kalau diizinkan Allah sampailah kami ke sana,” suami Khazinatul Asrar bersuara.

“Hijriah, buatlah cepat-cepat kenduri nie, tak adalah kami kempunan nak merasa nasi minyak Datin Azlinda dan Datin Nordina… lagipun, tak baik melambatkan ikatan yang baik,” celah Khazinatul Asrar mengusik.
Hijriah menjeling Tsabit sambil tersipu malu. Semua yang ada ketawa melihat telatah manja Hijriah. Suasana semakin ceria.
Serentak dengan itu, sebuah kereta perdana berhenti di situ. Keluarlah Mukhlisin bersama Faranaqwiah, teman seperjuangan Khazinatul Asrar. Juga berjubah konvo.
Pasangan suami isteri yang baru seminggu diijab kabulkan itu kelihatan begitu mesra berjalan seiringan melangkah ke arah mereka semua. Pandangan Mukhlisin tidak berganjak memandang seorang lelaki yang cukup terkenal di UKM. Segaknya dia mendampingi Khazinatul Asrar. Bagaikan cincin dengan permata. Bagai pinang dibelah dua.

“Lelaki ini rupanya yang menjadi penawar bisa syauqah (duri),” bisik hati Mukhlisin.

“Tahniah atas perkahwinan ini!” ucap Mukhlisin sambil bersalaman dengan Mustaqhim Al-Qordhowi. Presiden PMUKM yang cukup disegani ramai itu dengan membalas ucapan yang sama.

Khazinatul Asrar dan Hijriah pula mengusik-ngusik Faranaqwiah. Gadis pemalu itu pantang diusik, pasti merahlah kedua-dua pipinya… bagaikan kelopak mawar. Tsabit tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Mukhlisin dan pasangannya. Suasana penuh mesra. Air tenang Tasik Kejuruteraan bagaikan turut gembira. Beburung berkicau riang, bertasbih memuji Allah. Itulah irama alam.

“Aku redha, Khazinatul Asrar! Allah lebih bijak menentukan. Faranaqwiah pun tak kurang istimewanya. Hadiah Allah buatku…” hati Mukhlisin sempat juga bermonolog sendiri. Matanya terus melirik penuh kasih kepada isterinya.

“Terima kasih, Asrar… kerana bersusah payah menemukan kami sebagai pasangan suami isteri,” Faranaqwiah memeluk erat sahabatnya.

“Oh, Asrar lah orang tengah rupanya…ish, tak sangka betul saya! Puas saya berfikir macam mana agaknya Mukhlisin boleh tackle exco PMUKM. Rupa-rupanya…..” Hijriah berceloteh.

“Ish, tak adalah. Saya Cuma memudahkan jalan. Allah jualah yang memang dah rancang pertemuan ni,” Khazinatul Asrar menafikan.

“Oh…saya tak tahu sampai bila saya harus menunggu untuk menyarungkan cincin perak ini ke jari bakal menantu saya,” keluh daddy Hijriah diikuti gelak ketawa mereka semua.

“Ok…sekarang kita mulakan!” ayah Tsabit membuat keputusan. Ikatan pertunangan itu terjalin sebaik sahaja ibu Tsabit menyarung cincin ke jari Hijriah dan ayah Hijriah menyarung cincin ke jari Tsabit. Mustaqhim Al-Qordhowi menyambut dengan mengamin doa memohon keredhaan Allah S.W.T.


(((((((((((((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))))))))))))))


“Aku takkan kahwin kalau bukan dengan Khazinatul Asrar!” itulah kata-kata terakhir Asyraf kepada keluarganya sebelum bertolak ke Jepun. Perginya sarat dengan kekecewaan. Dia merajuk dengan perkahwinan Khazinatul Asrar. Dia masih belum dapat menerima hakikat bahawa gadis pujaannya selama ini tidak ditakdirkan Allah untuknya. Bukan dia sahaja yang kecewa, seluruh keluarganya juga turut terasa.

“Zalimnya keluarga Khazinatul Asrar!” itulah antara bisikan-bisikan syaitan yang sering meracuni mereka. Mereka lupa pada kuasa Allah dan qodo’ qodar yang sudah sedia tertulis di Loh Mahfuz.

“Bang, Asyraf bang… kalau dia tak kahwin, macam mana dengan hidupnya nanti?!” luah hati seorang ibu bimbang.

“Ini semua kerana Khazinatul Asrar! Tak patut..tak patut…sanggup dia memusnahkan impian keluarga kita!” berputik dendam di hati ayah jurutera komputer itu. Menantu idaman yang sekian lama disanjung olehnya dan isterinya akhirnya sewenang-wenangnya manjadi milik orang. Mereka langsung tidak dimaklumkan dengan berita pertunangan Khazinatul asrar. Sedar tak sedar, mereka dijemput menghadiri majlis perkahwinannya.

“Kejamnya situasi ini! Kenapa reality sebegini terjadi? Adilkah Asyraf menanggung semua ini setelah sekian lama setia menanti gadis itu menamatkan pengajiannya?
Mengapa Asyraf tiada pengertian apa-apa baginya? Adilkah ini? Adilkah ini?” monolog hati mereka diamuk kekecewaan.


(((((((((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))))))))))))


“Ummi, lama tak nampak keluarga bang Asyraf ke rumah kita, kan?!”
Khazinatul Asrar teringatkan keluarga itu. Soalan itu menyentap ketenangan Umminya tiba-tiba. Terngiang-ngiang lagi tangisan makcik Nab yang meratapi pemergian anak sulung ke Jepun. Baru semalam, dia mendapat berita itu melalui telefon. Ummi Khazinatul Asrar merenung wajah putihnya. Tak tergamak untuk diceritakan apa yang berlaku. Masakan tidak, puterinya itu baru sahaja melangkah ke gerbang perkahwinan. Masih terlalu awal baginya untuk dihukum dengan berita kekecewaan Asyraf sekeluarga di atas kebahagiaannya.

Khazinatul Asrar kehairanan melihat reaksi Umminya yang kelihatan kaku dan tercengang. Pandangannya dilontar ke luar jendela. Suami dan ayahnya masih belum pulang dari Bandar untuk menguruskan urusan umrah mereka sekeluarga beberapa minggu sahaja lagi. Dilihat Umminya masih terdiam, memikirkan sesuatu. Tiada respond apa-apa. Kaku.

“Kenapa Ummi diam jea nie?” Khazinatul Asrar cuba menduga.

“Asrar ada buat silap dengan Ummi ke?” lembut suaranya sambil melangkah perlahan dari jendela, malabuhkan punggung di sofa empuk, di sisi umminya.

“Tak de lah..” hanya sepatah suara ummi yang membalas. Khazinatul asrar tersenyum puas. Diambilnya Mathurat yang terbaris di atas meja.

“Mungkin ummi pun rindukan keluarga bang Asyraf,” fikirnya sambil meneruskan bacaan Mathurat.
Tak lama kemudian, sebuah kereta proton aeroback menuju masuk ke perkarangan rumah sederhana besar itu.
“Ummi, mereka dah balik!” Khazinatul Asrar tersenyum ceria sambil menarik tangan umminya ke muka pintu. Dia mahu sama-sama menyambut kepulangan abah dan suaminya.

“Macam mana? Dah settle?” Khazinatul Asrar bertanya ramah sebaik sahaja menyambut salam keduanya. Wajahnya manis berseri-seri.

“Alhamdulillah. Allah permudahkan. Tiket pun dah siap!” balas suaminya.

“Tiket dah siap?” ummi Khazinatul Asrar minta kepastian.
“Mmm!” serentak Mustaqhim Al-Qordhowi dan si abah mengangguk.
“Untuk empat orang?” ummi bertanya lagi.
“Tentulah, Zarah! Kan dah berbincang tiga kali. Macam tak yakin jea,” abah Khazinatul Asrar membalas dengan gurauan.
“Kenapa cepat sangat tiket siap?!” keluh ummi Khazinatul Asrar. Semua tercengang dengan keluhan itu. Ummi Khazinatul Asrar menyedari semua sedang memandangnya, hairan dengan keluhannya yang tersirat sesuatu. Ditariknya tangan si abah masuk ke bilik. Ada sesuatu yang ingin dibincangkan dengan suaminya itu.
“Pelik ummi hari ni…ummi tak sihat ke?” Mustaqhim Al-Qordhowi merenung mata isterinya.
“Asrar pun tak tahu, bang! Ummi agak diam hari ni. InsyaAllah, ummi tak apa-apa, Asrar rasa Ummi teringatkan Mak cik Nab dan Pak Cik Soleh sekeluarga di Rantau Abang. Eh, kesian abang letih. Duduklah dulu. Nanti Asrar siapkan orange juice,”
Khazinatul Asrar menyejukkan hati suaminya. Mustaqhim Al Qordhowi tersenyum.
Ma’thurat yang `terhidang‘ di meja tamu dijadikan santapan rohani terlebih dahulu.

Maghrib dan Isya’ berlalu dengan solat berjemaah sekeluarga. Sudah menjadi kebiasaan, tangan abah dan ummi dicium oleh pasangan suami isteri itu setiap kali selepas solat.

“Asrar Mustaqhim… abah nak cakap sikit,” Abah bersuara sekali gus membatalkan niat kedua-duanya untuk beredar dari bilik sembahyang. Bagaikan ada sesi muzakarah selepasnya. Ummi kelihatan sudah bersedia dengan apa yang akan abah sampaikan.

“Asrar… Mustaqhim… abah dan ummi dah bincang petang tadi, kami tak dapat ikut buat umrah. Mustaqhim pergi berdua sajalah dengan Asrar.” Abah menerangkan dengan tenang, setenang wajah Mustaqhim Al-Qordhowi dan Khazinatul Asrar dalam mendengar keputusan mengejut abah dan ummi.

“Lagipun inikan bulan madu… pergi berdua tentu lebih manis,” tambah ummi.
“Tapi, Asrar rasa lebih berkat kalau abah dan ummi pun turut bersama, kan bang?!”
usul Khazinatul Asrar. Mustaqhim Al-Qordhowi tersenyum sambil mengangguk akur.
“Ya, sayang! Tapi abah dan ummi ada urusan yang lebih penting untuk diselesaikan.
InsyaAllah, selesai urusan tu, kami akan menyusul kemudian. Kami pun dah cukup rindu pada lambaian Kaabah,” abahnya memberi penjelasan yang berkabus.

Khazinatul Asrar menarik wajah keliru. Dahinya berkeriuk cuba menafsirkan maksud tersirat di sebalik penjelasan abah. Ummi pantas memahami wajah manis yang keliru itu.
“Asrar, anak ummi! Ingatlah… sekarang ni syurga Asrar dah beralih di bawah tapak kaki suami. Jadilah bidadari untuknya,” erat digenggam jari jemari mulus puterinya.
“…dan Mustaqhim, menantu ummi! Syurga kamu tetap di bawah tapak kaki ibu. Ummi rasa, ibu bapa kamu lebih layak menerima tiket umrah tu. Bagilah tiket tu kepada mereka, bolehkan?”
“Oh, ummi! Asrar bertuah kerana lahir daripada wanita sebaik ummi!” Khazinatul Asrar memeluk umminya. Suasana mesra sebegitu memang telah menjadi kebiasaan hidupnya sejak kecil-kecil lagi.
“Kalau itulah kata ummi dan abah, Mustaqhim ikut saja,” Mustaqhim Al-Qordhowi tersenyum tenang. Memang penyenyum orangnya. Abah dan ummi turut mengukur senyuman yang tersembunyi suatu misi yang dirahsiakan.

“Bang, Asrar teringin sangat nak ziarah Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh sekeluarga di rantau Abang sebelum kita ke Tanah Suci,” ajak Khazinatul Asrar dengan sopan.

“Bila-bila masa jea Ainul Mardiah abang, cakap saja nak pergi bila? Esok? Lusa?”
Mustaqhim Al-Qordhowi menghiburkan isterinya. Khazinatul Asrar tersenyum manja diberi jolokan Ainul Mardhiah oleh suami tersayang. Nama bidadari paling cantik di syuga itu dirasakan terlalu agung untuk dimahkotakan untuk dirinya. Wajah-wajah nakal Asyraf dan adik-adiknya sejumlah lima orang pula bertamu diingatannya. Sejak kecil, keluarga itulah yang menceriakan kesepiannya sebagai anak tunggal dengan pelbagai usikan, kenakalan, ngomelan dan gelak tawa. Hatinya begitu terhibur setiap kali ummi dan abah membawanya menziarahi mereka. Kemesraan yang terjalin bermula daripada keakraban persahabatan abah dan pak cik Soleh sejak di alam kampus. Ianya bertambah erat apabila mereka menjadi rakan kongsi dalam satu syarikat penerbitan buku-buku ilmiah selepas graduate. Ummi dan mak cik Nab pula, masing-masing seorang pendidik dan pernah ditugaskan di sekolah yang sama ketika awal praktikal. Walaupun atas ikatan persahabatan namun ukhuwwah yang bersemi menjadikan dua buah keluarga itu bagaikan saudara sedarah sedaging.

Sudah agak lama suasana itu menyepi dalam hidup Khazinatul Asrar kerana dihalang oleh jarak waktu dan kesibukannya di Menara Gading. Asyraf pula baru sahaja pulang ke Malaysia setelah tamat pengajian di United Kingdom.
Kedatangan pasangan pengantin baru yang baru dua purnama diijabkabulkan itu disambut oleh lonjakan riang adik-adik Asyraf yang masing-masing bersekolah rendah dan menengah.

“Kak Asrar, nak hadiah!” itulah rengekan-rengekan yang sudah kalis menerjah corong telinga Khazinatul Asrar tiap kali berhadapan dengan kanak-kanak comel itu.
Khazinatul Asrar tidak pernah mengecewakan permintaan mereka. Musthaqim Al-Qordhowi pula tersenyum ceria melayani telatah riang mereka. Selang setengah jam berlalu, barulah Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh keluar menyambut kedatangan mereka dengan wajah yang berjalur garis-garis suram dan hambar. Tajam anak mata Pak Cik Soleh memanah batang tubuh pemuda yang mendampingi Khazinatul Asrar.
Mustaqhim Al-Qordhowi tetap dengan senyumannya.

“Asyraf masih belum balik kerja, Pak Cik?” Mustaqhim Al-Qordhowi cuba membuka perbualan.

“Balik kerja? Tak tahu ke dia dah ke Jepun?” Pak Cik Soleh membalas sinis.

“Oh, ye ke?! Dia sambung belajar lagi ke Pak Cik?” Mustaqhim Al-Qordhowi masih menunjukkan kemesraan untuk berbual. Namun, entah mengapa terasa sakit di hati kedua ibu bapa Asyraf tatkala mendengar pertanyaan itu. Kalaulah bukan atas nama kemanusiaan, mahu saja disumpah seranahnya pemuda yang menghancurkan impian Asyraf itu, perampas Khazinatul Asrar.

“Abang Long merajuk… Dia kata, kak Asrar dah kahwin, tak bolehlah nak main-main lagi. Dia nak cari orang yang serupa macam kak Asrar di Jepun,” sampuk Alif yang bersekolah darjah Tiga. Mak cik Nab mengcegilkan mata sebulat mata ikan lolong.
Budak kecil itu faham isyarat di sebalik wajah ibunya sambil cepat-cepat berlalu dari situ.
“Budak-budak begitulah…ada-ada saja!” Khazinatul asrar menjernihkan keadaan sambil tersenyum. Baginya, itu tak lebih dari satu gurauan. Masakan tidak, dari dulu lagi adik-adik Asyraf suka mengusik-ngusik dirinya dengan abang sulungnya.
Sedangkan, Asyraf sudah pun dianggap bagaikan abang kandung sendiri meskipun dia tetap menjaga batasan aurat sebagai ajnabiah.

“Ingat Alif tu main-main?” serius kali ini wajah Pak Cik Soleh.
“Tahu tak kenapa Asyraf ke Jepun?” Dia merajuk, tau! Sedih, kecewa dan merana Asyraf dibuatnya.” Suaranya meninggi, menegangkan suasana.
“Dia rela tak kahwin seumur hidup kalau bukan dengan Asrar…” Mak cik Nab menambah. Dendam. Geram. Benci.
“Kasihan Asyraf, cintanya dikhianati!” keluh Pak Cik Soleh, semakin meluap kebencian.
“Err…apa sebenarnya ni? Maaf…boleh tak kita bincang dengan baik, kita kan bersaudara?!” tenang sahaja Mustaqhim Al-Qordhowi menghadapi kekalutan yang tercetus. Menyerlahkan kewibawaanya.
“Bersaudaranya? Sejak bila kau memandai mengaku saudara kami?! Kau tak ada kaitan langsung dengan kami semua! Khazinatul Asrar je saudara kami, kamu bukan! Faham?!” kali ini kata-kata Pak Cik Soleh begitu berbisa bagaikan hilang rasionalnya.
MustaQhim Al-Qordhowi terus tenang. Hatinya beristighfar panjang. Khazinatul asrar pula tidak percaya suaminya dilayan sebegitu.
“Pak cik, mengucap Pak Cik! Kenapa abang Mustaqhim dilayan begini? Apa salah dia?”
Khazinatul Asrar cuba masih melembutkan suara walaupun situasi itu menerjah-nerjah pintu kesabarannya.

“Apa salah dia?!

"Dia memang salah kerana mengkahwini kau, Asrar! Kau sepatutnya menjadi isteri Asyraf, bukan dia!” tegas Pak Cik Soleh, memuntahkan api dendamnya.
“Sampai hati kau, Asrar. Siang malam Asyraf asyik teringatkan kau…. tiba-tiba kau kahwin dengan orang lain..di mana perikemanuasiaan kau pada Asyraf dan keluarga kami?” sindir Mak Cik Nab pula.

“Astaghfirullahal azhim. saya tak pernah pun berjanji nak menjadi isteri abang Asyraf, beri harapan pun tak pernah sama sekali! Bagaimana saya boleh cintakan abang Asyraf sedangkan statusnya dalam hidup saya lebih mulia dari itu, dia dahpun macam abang kandung saya sendiri! Pak Cik, Mak Cik… ini semua taqdir Allah! Siapalah kita untuk mempertikaikan ketentuan-Nya. Salahkah abang Mustaqhim kerana dipilih Allah untuk saya?” suara Khazinatul Asrar berbaur sedih.
“Sudahlah…kamu memang tak pandai menghargai persahabatan mak ayah kamu dengan kami, kejamnya kamu, Asrar!” kasar bahasa Pak Cik Soleh sekaligus meragut kesabaran Khazinatul Asrar.

“Oh, ini rupanya harga persahabatan Pak Cik, Mak Cik dengan abah dan ummi saya? Untuk kepentingan dan kepuasan keluarga Pak Cik? Di mana keikhlasan Pak cik? Beginikah sikap sebenar Pak Cik dan Mak Cik yang sangat saya hormati sekian lama?”

Khazinatul Asrar bertegas sama. Mustaqhim Al-Qordhowi menepuk-nepuk perlahan bahu isterinya. Menenangkan. Khazinatul asrar menghela nafas sambil berzikir dalam hati.

Di luar sana, Alif dicubit-cubit Kak Ngahnya yang berusia 15 tahun.
“NI semua Alif punya pasal lah, kecil-kecil lagi dah celupar mulut. Kasihan Kak Asrar kena marah. Kak Ngah bagi cili api kat mulut tu baru tau!” leter Kak Ngah. Geram.
Terdengar tangisan mengamuk si kecil itu.
“Pak Cik, Mak Cik…kami minta maaf. Buat masa ni biar lah kami minta diri dulu.
Insyallah, lain kali kami akan ziarah lagi…” Mustaqhim Al-Qordhowi masih tenang dan bersopan sambil menghulurkan salam. Tak bersambut.

“Sabarlah, Asrar…ujian Allah itu kan bukti kasih sayang Allah. Allah menguji sebab nak melihat setakat mana tahap iman kita menghadapinya. Inilah peluang dinaikkan memartabatkan iman di sisi-Nya. Insyallah, semuanya akan kembali jernih.
Yakinlah pada Allah!” pujuk Mustaqhim Al-Qordhowi dengan penuh kasih sayang.

Khazinatul Asrar mengangguk perlahan sambil menatap Al-Quran kecil yang senantiasa di bawa ke mana sahaja. Hatinya berbisik kagum dengan lelaki di sisinya itu yang terus tenang memecut kereta. Berulang-ulang kali dibacanya surahnya Ar-Rahman agar Allah mengembalikan rasa kasih sayang sesama keluarga mereka.

Setibanya di rumah, ummi dan abah sudah dapat menduga apa yang telah berlaku. Masakan tidak, sebelum daripada itu, mereka telah berkali-kali dipersalahkan oleh Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh atas pemergian Asyraf ke Jepun dengan hati yang hancur berkecai. Cuma, sengaja dirahsiakan daripada pengetahuan anak mertuanya demi menjaga hubungan baik antara mereka juga.

“Dua hari lagi nak ke Tanah Suci… berdoalah banyak-banyak agar semuanya kembali baik. Doakan juga agar Asyraf selamat di benua orang.” Pujuk ummi.
“Kalaulah abah ada ramai puteri, tentu abah takkan kecewakan Asyraf..” ayah Khazinatul Asrar masih rasa bersalah kepada Asyraf dan keluarganya meskipun menyedari bahawa realiti itu suatu suratan. Fikirannya mula mengimbas saat isterinya diikat peranakan kerana telah mengalami selama enam kali keguguran
selepas melahirkan Khazinatul Asrar.

“Abah, Asrar kesal dengan harga persahabatn mereka. Murah! Perkara sebegini pun nak diperbesarkan hingga sanggup nak bermusuhan…tiada ketulusan langsung!”

“Janganlah begini sayang, tak baik.” Mustaqhim Al-Qordhowi menenangkan lagi isterinya. Ummi tersenyum melihat kesabaran menantunya. Memang puterinya itu bijak memilih teman hidupnya. Khazinatul Asrar seorang yang cukup lantang di meja pidato dan debat pada zaman remajanya, memang padan untuk dijodohkan dengan seseorang yang boleh mengajarnya supaya lebih tenang dalam menyuarakan sesuatu.

Dalam pada itu, terbayang-bayang pula wajah Asyraf yang sudah pun dianggap bagaikan putera kandung sendiri.
Masih basah diingatannya, sebelum Asyraf melanjutkan pelajaran ke United Kingdom, dia mengusik mereka supaya menjaga Khazinatul Asrar untuknya.
Khazinatul Asrar yang baru sahaja memasuki dunia UKM ketika itu cuma tersenyum tawar dengan usikan nakal Asyraf.

“Bang Asyraf ni tak habis-habis lagi nak mengusik adik sendiri. Bilalah dia tu nak matang sikit? Mungkin bila dah ada isteri cantik bermata biru nanti, barulah dia tak usik Asrar lagi, kan abah?!” Khazinatul Asrar mangadu kepada abahnya tika itu.

Rupanya Asyraf yang suka berjenaka itu serius dalam gurauannya. Terbit rasa simpati ummi pada Asyraf. Namun, apakan daya, cinta tak boleh dipaksa, Khazinatul Asrar lebih berhak memilih teman hidupnya sendiri. Asyraf sepatutnya lebih rasional memikirkan bahawa tidak guna terlalu memuja-muja seseorang gadis kerana mungkin dia tidak diciptakan untuknya. Bukankah lebih baik bergantung harapan kepada Penciptanya sendiri kerana Allah lah pemilik dan pemegang hati setiap insan. Allah lebih Mengetahui siapakah yang terbaik untuk seseorang. Kesedaran inilah yang boleh menjadikan setiap insan redha dengan kebijaksanaan Allah mentaqdirkan sesuatu.

“Alangkah baiknya kalau Asyraf boleh menerima hakikat ini…” bisik hati ummi.

Lambaian Kaabah, Masjidul Haram, Masjidun Nabawi dari Bumi Anbiya’, Mekkah dan Madinah makin terasa mengusap perasaan. Di airport, Khazinatul Asrar sebak meninggalkan ayah bonda tercinta. Bagaikan itulah pertemuan terakhir antara mereka. Diciumnya berkali-kali pipi ummi dan abah. Diminta halal segala makan minum dan tiap titis susu ummi yang membesarkannya.

“Ummi, abah… ampunkah semua silap salah Asrar. Redhoilah Asrar menjadi anak ummi dan abah. Tak tahu kenapa Asrar rasa berat nak berpisah,” pilu suaranya.

“Asrar, kaulah satu-satunya saham akhirat kami di dunia ini. Jadilah isteri yang solehah agar ummi dan abah pun mendapat rahmat di sisi Allah,” pesan ibu Khazinatul Asrar sambil mendakap erat puteri kesayangannya itu.

“Asrar, di sana nanti, doakan keluarga kita, Mak Cik Nab, Pak Cik Soleh dan ummat Islam seluruhnya agar kita semua boleh berdamai atas nama Islam yang suci..” pesan si abah pula.

“Insyallah, bah!” balas Khazinatul Asrar, sebak.
Suaminya yang pergi menjemput ayahbondanya di Bandar Al-Muktafi Billah Syah sejak pagi tadi setelah menghantarnya berserta abah dan ummi terlebih dahulu ke lapangan terbang, masih belum kelihatan. Hari terus merangkak tengahari.

Matahari makin tegak meninggi. Saat berpisah makin mencemburui. Khazinatul Asrar memanfaatkah sepenuh masa yang masih berbaki itu untuk bermanja sepuasnya dengan abah dan ummi. Walaupun sudah bergelar isteri, namun bagi Khazinatul Asrar, kasihnya terhadap abah dan ummi tidak pernah berbelah bahagi. Kasihnya pada abah dan ummi tetap sama sampai bila-bila. Perkahwinannya bukanlah halangan untuk bermesra dengan abah dan ummi.
Tidak lama kemudan, muncullah kelibat Mustaqhim Al-Qordhowi bersama ayahbondanya di saat waktu berlepas makin menghampiri.

“Selamat Berangkat! Moga Allah rahmati,” ujar abah Khazinatul Asrar sambil berjabat tangan dengan besannya. Di saat itu, bila-bila masa sahaja mereka akan dipanggil pergi.

“Terima kasih, doakan Allah menerima ziarah kami anak-beranak sebagai tetamu-Nya,” balas besannya. Suasana sebak sekali lagi menyelubungi hati dan sanubari Khazinatul Asrar. Laju air matanya membasahi pipi tatkala bersalaman dengan ummi dan abah buat kali terakhir sebelum bertolak pergi ke Tanah Suci. Umminya juga begitu hiba menghadapi perpisahan itu. Entah mengapa hatinya sering berbisik-bisik bahawa selepas ini dia takkan berpeluang lagi menatapi wajah yang amat dicintai oleh
seorang ibu. Namun, dia melawan bisikan-bisikan itu dengan zikir qolbi kerana itu mungkin bisikan-bisikan syaitan yang selalu cuba menghalang orang yang ingin membuat kebaikan. Dia memujuk hatinya bahawa perpisahan itu cumalah sementara dan singkat kerana dia juga akan menyusuli mereka ke Tanah Suci bersama suaminya nanti.

Perpisahan keluarga itu diiringi dengan nur ukhuwwah, kasih sayang dan persaudaraan yang terpancar indah menghiasi alam itulah tuntutan Rasulullah yang semakin dilupakan. Semangat ukhuwwah dan persaudaraan…

((((((((((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))))))))))))

“Selagi anak aku tak balik, selagi tue kita putus saudara!” Ayah Asyraf betul-betul melampau kali ini. Ziarah ummi dan abah Khazinatul Asrar ke rumahnya pada suatu petang di sambut dengan kata-kata sekasar itu. Mereka pulang dengan perasaan yang sedih dan hiba. Namun, mereka yakin semuanya akan kembali pulih.
Mereka tetap akan berusaha mencari jalan perdamaian kerana bukanlah prinsip hidup mereka bermusuhan sesama insan bersaudara.

“Bang, betul ke bang masih ingat Do Co Mos Centre tu?” ibu Khazinatul Asrar meminta kepastian. Dia dan suaminya telah pun membulatkan tekad untuk mencari Asyraf di Negeri Matahari Terbit. Itulah misi yang dirahsiakannya. Mereka yakin hanya dengan memujuk Asyraf boleh memulihkan keretakan persahabatan keluarga mereka.

“Kalau tak silap abang, Do Co Mos Centre tui di kawasan Hibya Line, Tokyo subway… Nama pengurusnya pun abang masih ingat, Yusuke Katayose. Nanti, abang akan dapatkan maklumat lanjut dari Agensi pelancongan tu,” Abah Khazinatul Asrar meyakinkan isterinya.

“Saya yakin, bang…mesti Asyraf ada kat situ!” wajahnya sarat dengan harapan.
“Kita doakanlah…Abang pun yakin Asyraf tetap ada misi hidup tersendiri di Jepun walaupun pergi dalam keadaan merajuk. Abang masih ingat lagi, sejak dari sekolah menengah dulu, dia suka sangat bercerita tentang maklumat yang dikumpulnya melalui internet mengenai pusat komputer yang di antara tercanggih di dunia tu. Tak hairanlah dia begitu bersungguh mempelajari bahasa Jepun ketika menuntut di UK,”
imbas suaminya.

“Betulah, bang. Asyraf pun pernah berangan-angan nak bawa Asrar ke Do Co Mos Centre tu. Banyak kali dia beritahu saya.” Kenangan diimbas pula oleh isterinya.
“Zahra, kita teruskan berdoa. Malam ni, Insyallah kita solat hajat 12 rakaat sama-sama lagi, larat tak?” lembut suara lelaki yang hampir mencecah usia separuh abad itu.

“Insyallah, bang… pada Allah jua tempat kita mengadu untuk permudahkan urusan kita,” isterinya akur.

Beberapa minggu berlalu, gemparlah penduduk sekitar tentang keberangkatan Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim ke Jepun semata-mata untuk mencari dan memujuk anak sahabatnya. Sucinya hati mereka dalam menghargai erti persahabatan.
Akhirnya tempias berita itu sampai juga ke corong telingan Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh. Kekerasan hati mereka terlentur dengan pengorbanan yang tak pernah terlintas di fikiran. Di manakah Asyraf perlu dicari di dunia teknologi secanggih Jepun? Terasa diri mereka diketuk-ketuk oleh keegoan sendiri. Malunya pada diri sendiri. Barulah mula terfikir, Khazinatul Asrar lebih layak untuk Mustaqhim Al-Qordhowi bukan untuk Asyraf. Jauh sekali keluhuran peribadi lelaki itu jika nak dibandingkan dengan anak lelaki mereka yang nakal walaupun berpelajaran tinggi. Satu-persatu sikap melampau mereka terskrin di ruang mata sendiri.
“Oh, Tuhan…” akhirnya Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh kembali juga pada Ar-Rahman.


((((((((((((((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))))))))))


Bagaikan permata di celahan kaca,
Kerdipnya sukar tuk dibezakan,
Kepada-Mu Tuhan ku pasrah harapan,
Moga tak tersalah pilihan.
Nur Kasih-Mu mendamai di kalbu,
Jernih setulus tadahan doaku,
Rahmati daku dan permintaanku,
Untuk bertemu di dalam restu.
Kurniakan daku serikandi,
Penyejuk di mata penawar di hati,
Di dunia dialah penyeri,
Di Syurga menanti dia bidadari,
Kekasih sejati teman yang berbudi,
Kasihnya bukan keterpaksaan,
Bukan jua kerana keduniaan,
Mekar hidup ini disirami Nur Kasih.
Ya Allah, kurniakanlah kami isteri dan zuriat yang soleh,
Sebagai penyejuk mata….
Di tangan-Mu Tuhan ku sandar impian,
Penentu jodoh pertemuan,
Seandai dirinya dicipta untukku,
Rela ku menjadi miliknya.
Kurniakan daku serikandi,
Penyejuk di mata penawar di hati,
Di dunia dialah penyeri,
Di Syurga menanti dia bidadari,
Kekasih sejati teman yang berbudi,
Kasihnya bukan keterpaksaan,
Bukan jua kerana keduniaan,
Mekar hidup ini disirami Nur Kasih.

Irama In-Team dari kaset yang sempat dibawanya dari Malaysia itu menjadi penghiburnya tiapkali kesunyian.
“Ku tujukan lagu ini buatmu, Khazinatul Asrar…” bisiknya sendiri. Sekali lagi lagu itu diputarkan memecah kesunyian kamarnya. Keadaan dirinya agak tidak terurus. Makan dan minum tidak dihiraukan sangat, cukuplah sedikit air mineral dan roti menjadi alas perut. Mujurlah dia masih rasional untuk menyara hidupnya dengan bekerja di Do Co Mos Centre kerana kelayakan akademik yang dimilikinya.
Tubuhnya dibalut dengan baju berbulu tebal. Tidak cukup dengan itu, kain selimut pula diselimuti ke badannya. Kedinginan musim sejuk di Jepun yang menusuk-nusuk tulang sum-sum begitu menyengat bagi orang Malaysia seperti Asyraf.
Dalam kesejukan malam salji tebal menutup alam, tiba-tiba kedengaran suara tetamu dari luar. Suara tegas yang cukup dikenali.
Haip! Haip! Penghormatan diberi kepada Yusuku Katayose, pengurus Do Co Mos Centre. Kehairanan menerjah fikiran dengan kunjungan jutawan yang cukup disegani itu. Dua orang lelaki berwajah Melayu juga turut mengiringi. Mereka seakan-akan fasih berbahasa Jepun. Setelah beberapa minit berbincang, fahamlah Asyraf bahawa dua orang lelaki itu adalah wakil salah satu agensi pelancongan dari Malaysia.
Rupa-rupanya, kehadiran mereka bersama satu berita yang sukar untuk dipercayai.
Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim sedang berada di Bandar itu untuk mencarinya.
“Kerana aku???” hatinya sukar untuk mempercayai.
Dalam kekagetan itu, dia bertambah kaget apabila dimaklumkan bahawa mereka sedang berada di hospital utama di Tokyo. Apatah lagi, sepantas kilat keretanya dipecut ke sana. Tidak dipedulikan lagi kesejukan malam di musim salji yang memamah-mamah urat sendi.
Sepanjang perjalanan, pelbagai andaian dan tafsiran yang bermain-main di fikiran, terbayang-bayang bermacam kesukaran yang terpaksa ditempuh oleh ibu dan ayah gadis pujaannya dalam pencarian mereka. Segala persoalan yang menerjah ke kotak fikiran hanya terjawab dengan kepiluan. Sedih. Terharu.


..BERSAMBUNG..

Seindah Mawar Berduri (episod 4)


“Err…saya Mukhlisin…Ahmad Mukhlisin! Saya datang ni sebab nak minta maaf pasal nota-nota tue.” Khazinatul Asrar agak terkejut dengan kehadiran lelaki itu tetapi dia kelihatan tenang mendengar kenyataannya.

“Hijriah cakap, awak tak suka cara saya approach awak. Saya mula rasa bersalah dan nak minta maaf. Boleh awak maafkan saya?” wajah Mukhlisin bersarat harapan.

“Lupakan…em, kalau dah tak ada apa-apa lagi, kami pergi dulu ya. Bimbang kalau mendatangkan fitnah pula,” Khazinatul Asrar sudah bersedia mengatur langkah. Dia ingin segera mengakhiri episod itu.
Pandangannya dilontar ke dewan tempat usrahnya diadakan tadi seolah-olah dirasakan ada seseorang yang melihat mereka. Seseorang yang mungkin curiga dengan situasi itu.

“Nantilah dulu…bukannya senang untuk saya berpeluang sebegini. Give me some minutes, please!” wajah Mukhlisin menterjemahkan betapa besarnya harapan.

Khazinatul Asrar memandang Faranaqwiah. Faranaqwiah mengangguk perlahan sebagai isyarat supaya diberi ruang dan peluang kepada lelaki itu. Mukhlisin memandang Faranaqwiah dengan senyuman terima kasih.

“Betulkah awak dah benar-benar memaafkan saya?” Mukhlisin masih curiga.
“Saya tak suka mendendami sesiapa…” balas Khazinatul Asrar.
“Tapi, awak macam masih marahkan saya! Berpuluh kali saya call tapi tinggal miss called jea,” luah Mukhlisin.
”Awak takut saya marahkan awak?” duga Khazinatul Asrar, makin berani.
“Tentulah…” pantas Mukhlisin menyahutnya.
“Kenapa?” Khazinatul Asrar masih menduga.
“Supaya awak tak bencikan saya…” jawab Mukhlisin. “Sepatutnya awak lebih takut kalau Allah S.W.T yang marah supaya Allah tidak benci…” tegas bicaranya.
“Sekali lagi saya minta maaf. Saya tak berniat nak mempermainkan awak. Niat saya baik. Ikhlas kerana Allah!”

Mukhlisin membela diri.

“Siapalah kita untuk menilai keikhlasan sendiri. Ikhlas ke tak ikhlas ke, itu urusan Allah, Allah Maha Mengetahui. Muhasabahlah balik tujuan awak untuk mendekati saya kerana dalam sedar ataupun tidak mungkin ianya didasari nafsu semata bukan atas pertimbangan akal,” Khazinatul Asrar masih bernada tegas.

“Awak meragui keikhlasan saya?” soal Mukhlisin. “Saya tak bermaksud begitu. Sekadar ingatan dan langkah berhati-hati. Lagipun saudara adalah orang asing dalam hidup saya, memang menjadi haq saya untuk meragui setiap orang yang asing.” “Khazinatul Asrar…salahkah saya cuba untuk mengenali gadis yang baik untuk dijadikan isteri?” redup wajah Mukhlisin.

Faranaqwiah tertunduk malu dengan kenyataan itu. Khazinatul Asrar masih mampu bertegas.
“Tak ada hokum yang mengatakannya salah. Tapi saudara kena ingat. Matlamat tak menghalalkan cara.

Cara mestilah syaro’ mengikut lunas-lunas agama.” Jelasnya lembut kali ini namun kenyataannya masih tegas.

“Okeylah, okeylah…saya tak berniat berdebat apa-apa dengan awak. Cuma, saya ada satu permintaan. Mungkin yang pertama dan terakhir. Begini… saya ada perkara penting yang nak dicakapkan dengan awak, Khazinatul Asrar. Dah banyak kali saya cuba hubungi handset awak tapi nampaknya awak tak sudi langsung nak menjawabnya.

Mungkin awak rasa saya nak mengganggu lagi. Itu silap saya sendiri kerana nota-nota tue. Tapi, saya harap sangat-sangat kita boleh jumpa malam ni, boleh kan?” ajakannya memang bersungguh-sungguh. Sinar matanya memancar harapan.

“Maafkan saya, saudara! Berjumpa tanpa urusan yang munasabah antara lelaki dan perempuan bukanlah prinsip hidup saya. Saudara mungkin tersilap orang untuk diajak keluar,” nadanya lembut namun tegas.
“Habis tue, takkan saya tiada peluang langsung untuk mengenali awak?” Mukhlisin berasa hampa dengan penolakan itu.

“Saudara…untuk apa kita saling mengenali? Ianya hanya memberi kesempatan kepada syaitan untuk memudahkan kerjanya melalaikan manusia,” tegasnya lagi.
“Tapi ini soal hati dan perasaan, bukan mainan. Saya tahu…saudari sebenarnya tak mahu mengenali saya kerana saya tak layak mengenali saudari, kan?” terluah satu kekecewaan dan kekesalan.
“Maafkan saya. Saya langsung tak berniat memperkecilkan saudara. Antara kita tiada lebihnya melainkan darjah ketaqwaan yang semuanya menjadi urusan Allah.

Siapalah diri saya untuk berlaku sombong… Saudara, saya buat begini semata-mata mengharap naungan keredhaan Allah untuk kebaikan kita bersama. Lagipun, saudara tak bimbangkah pada amaran Rasulullah bahawa mengenali seorang wanita mungkin menjadi fitnah kepada seorang lelaki?” Khazinatul Asrar cuba menenangkan perasaan Mukhlisin.

“Memang Rasulullah sangat bimbangkan dengan bahaya fitnah wanita akhir zaman. Tapi bukannya semua wanita membawa fitnah. Wanita itu hiasan dunia dan sebaik- baik hiasan adalah wanita solehah. Salahkah saya cuba mendapatkan hiasan yang sebaik-baiknya itu untuk hidup saya? Malah itu adalah hak dan impian semua lelaki,” Mukhlisin mempertahankan pendiriannya.

Khazinatul Asrar terdiam. Setelah seketika barulah bersuara.

“Saya tak mahu seorang lelaki yang menjadi harapan agama dalam gerak kerja memartabatkan Islam akan lalai dan menjadi lemah iman kerana saya. Apatah lagi intelektual Islam sehebat saudara. Saya tak mahu menjadi wanita akhir zaman yang menyumbang kepada kelalaian lelaki. Kalaulah wanita hari ini terpelihara keperibadiannya dari pelbagai aspek, InsyaAllah akan lahirlah pemuda-pemuda Islam yang sanggup berada di jalan perjuangan sebagaimana keunggulan srikandi-srikandi Islam terdahulu yang akhirnya melahirkan para ambiya’, auliya’, dan shalihin yang unggul dan terbilang. Tarbiyah inilah yang cuba saya praktikkan pada diri saya. Oleh sebab itu saya tak mahu menghampiri perkara-perkara yang melalaikan seperti ajakan saudara ini. Maafkan saya,” Khazinatul Asrar cuba menjelaskan pendiriannya.

“Saya tak kisah kalau awak menolak ajakan saya nie. Cuma…saya harap awak luangkanlah waktu fikirkan tentang perasaan saya terhadap awak. Saya benar-benar cintakan awak kerana Allah!” Mukhlisin semakin berani berterus terang. Tidak dihiraukan lagi rasa segan dan malu pada gadis itu. Pipi Khazinatul Asrar kemerah-merahan dengan kata-kata itu. Tak dapat dibendungnya lagi rasa malu kepada Faranaqwiah dan pada Mukhlisin sendiri. Tangan Faranaqwiah ditariknya sambil mengatur langkah meninggalkan Mukhlisin tanpa sebarang kata putus. Faranaqwiah yang sejak tadi setia memerhati terus setia mengikut rentak kaki temannya yang mara kehadapan.
Matanya melirik kepada Mukhlisin yang semakin jauh ditinggalkan dengan persoalan. Kasihan padanya…

”Syauqah…duri yang memagari diri. Tiba waktunya duri itu takkan lagi berbisa untukku. Oh, Khazinatul Asrar…” Mukhlisin memujuk hatinya sambil anak matanya mengekori setiap langkah sopan kedua-dua gadis itu.

Setelah kedua-duanya hilang dari pandangan, keretanya dipecut laju. Semangatnya makin membara untuk menyunting mawar berduri itu. Tatkala melintasi satu bus stop, dia terpandang Hijriah tercegat di situ. Keretanya berundur balik dan melencong ke bus stop tersebut.

“Kenapa sorang jea kat sini? Lewat petang begini…bahaya tau! Nak balik kampus ke?” Mukhlisin mengambil berat terhadap jirannya.
“Aku nak balik rumah. Esok, tak ada kuliyah. Kau pulak tentu dari Bangi kan… nak ke mana? Nak balik ke kampus Medic di KL ke?” Hijriah pulak bertanya bertubi-tubi.
“Aku pun ingat nak balik Kajang nie. Marilah aku hantarkan kau sekali. Alah aku ni kan jiran kau…tak payahlah segan. Mari…”

Mukhlisin cuba meyakinkan Hijriah yang kelihatan agak keberatan. Hijriah akur dan masuk ke dalam kereta.

“Kau dari mana sorang-sorang ni?” tanya Mukhlisin prihatin.
“Tak adalah. Aku bertiga tadi dengan Fadhila dan Humaira’. Diorang baru saja naik komuter balik kampus. Kami jalan-jalan jea. Ni kan hari minggu. Mestilah nak rehatkan fikiran,” jawab Hijriah.

“Ish, final exam dah dekat pun ingat nak jalan-jalan lagi ke?” sindir Mukhlisin.

“Alah sesekali jea. Fikiran yang tenang pun menjadi faktor kejayaan tau!” balas Hijriah.

“Yea lah tu… aku nak tengok jea konvo hujung tahun nie kau masuk golongan first class atau tidak,” Mukhlisin sengaja nak tengok Hijriah marah. Hijriah menjeling geram. “Kau tue konvo jugak akhir tahun nie,kan…kalaulah kau masuk third class, akulah orang pertama yang akan ketawakan kau. Apa taknya siang malam asyik ingatkan si dia…” giliran Hijriah pula sinis menyindir.

Mukhlisin tersenyum nakal.

“Eh, marah pulak dia! Aku gurau jea tadi…Kau jangan lupa, course Medic tak main class-class tau, antara Pass atau Fail jea. Jangan jealous! Err,Hijriah…. Dia pun konvo sama-sama kita,kan?” wajah Khazinatul Asrar bertandang di fikiran Mukhlisin.

Hijriah menggeleng lagi, “Kau ni memang….kalau pasal Asrar mula nak berbaik dengan aku. Asrar buah hati kau tue nak sambung lagi sampai Phd lepas konvo ni tau! Kau pulak?” “Lepas konvo aku kena bertugas di hospital tengku Ampuan Afzan. Nanti kalau kau sakit, marilah jumpa Dr.Mukhlisin. jangan lupa ajak dia sekali,” Mukhlisin bergurau.

Hijriah mencebik bibir.

“Tak malu!” bentak hatinya.
“Aku rasa dia tak nak datang pun. Rela dia sakit daripada jumpa doktor yang niat tak betul macam kau. Aku pun lebih baik aku jumpa doktor yang lebih profesional dan berpengalaman. Takut bertambah sakit pulak aku bila tengok muka kau tu,” Hijriah mengusik Mukhlisin. Mukhlisin tiba-tiba rasa sedikit sensitive.

“Kenapa dia tak boleh terima aku? Apa kurangnya aku?” melencong ke lain pulak perbualan Mukhlisin. Hijriah rasa simpati dengan kata-kata itu.
“Engkau? Bagi aku… kau lelaki istimewa. Ada rupa, kemewahan dan pelajaran.

Ketaqwaan tue, aku tak berani nak kata. Urusan Allah. Mungkin hatinya masih belum terbuka sebab dia nak tumpukan pada pelajarannya dulu. Sabarlah….” Pujuk Hijriah.

“Tapi, dia langsung tak bagi aku peluang. Macam dia dah ada orang yang punya,” Mukhlisin membuat andaian.
“Khazinatul Asrar dah berpunya? Tak mungkin! Dia mawar berduri. Cintanya milik Allah. Bukannya senang nak disunting sesiapa!” sangkal Hijriah.
“Aku harap begitulah…” balas Mukhlisin penuh harapan.
“Kau kena fikir… keduniaan serba lengkap yang kau miliki boleh ke menjanjikan kebahagiaan pada Khazinatul Asrar nanti? Wanita beriman takkan pandang sangat pada kekayaan dunia. Satu lagi, kau tu janganlah terlalu kejar dan mendesak dia.

Rimas dia nanti. Buatlah perangai elok-elok sikit macam lelaki beriman. Ni tidak… cakap pasal Islam jea pandai, akhlak tak beramal sangat. Asrar selalu ingatkan aku bahawa zaman sekarang ni, ramai orang yang boleh bercakap pasal Islam tapi tak ramai yang menghayati Islam tu sendiri. Ramai juga yang menabur janji cinta kerana Allah tapi tak merealisasikan cinta itu sebenarnya. Dia takkan mudah terpedaya dengan kata-kata. Dia akan menilai pada akhlak kau, kau dalam ujian dan nilaian Asrar sekarang ni, tau!” nasihat Hijriah berserta bisikan di dasar hatinya, nasihat itu ditujukan untuk dirinya sendiri juga.

“Dia sedang menguji aku?” soal Mukhlisin. Serius.
“Takkan nak tipu!” jawab Hijriah.
“Pass ke aku pada ujuan dia?” keluh Mukhlisin, bimbang.
“Resultnya adalah ketentuan Allah jua, katanya. Khazinatul Asrar tu mementingkan keberkatan dalam hidupnya. Baginya, lebih berkat kalau dia menerima lelaki di saat dia dah betul-betul bersedia terutamanya bila dah graduate. Kau kena banyak berdoa agar waktu tu hatinya boleh terima kau. Itulah petanda kau dah lulus ujian dia..”

“Hijriah, aku risaulah! Inilah kali pertama aku merasakan dhoifnya diriku walaupun hidup penuh kemewahan. Iman aku tak sekaya Khazinatul Asrar! Rasa macam tak padan nak bergandingan dengan dia. Tapi, aku masih boleh memperbaiki diri..Hijriah,kan?! aku memang dah lama bercita-cita nak jadi baik macam dia.

Mendamaikan tiap mata yang memandang. Aku tak boleh melupakan Khazinatul Asrar walau sesaat pun..” luah Mukhlisin. “Ha…dia pernah beritahu aku tentang lelaki idamannya.” “Apa dia cakap?” Mukhlisin tak sabar-sabar.

“Amboi amboi..kau ni! Okey, dengar baik-baik yea… Khazinatul Asrar impikan seorang suami yang akan memeriahkan mahligainya dengan kalamullah, menghidupkan malam dengan tahajjud berjemaah, mendidik generasinya dengan pewaris perjuangan Rasulullah. Biarlah lelaki itu tak punya rupa dan kekayaan asal hatinya sarat dengan keimanan. Ehem…kau dah cukup syarat nak jadi lelaki idaman Khazinatul Asrar?” usik Hijriah lagi.

Tiba-tiba brek ditekan mengejut menyebabkan kedua-duanya tersentak ke hadapan. Nasib baik tali pinggang dipasang kemas dan belon udara cepat bertindak.
Kebetulan jalan yang biasanya sesak itu agak lengang. Tiada kereta yang memandu dekat di belakang. Kalau tidak, mungkin mereka nahas dirempuh dari belakang.

“Kenapa kau ni?” Hijriah sangat terkejut.
“Maaf…maafkan aku! Kau tak apa-apa, Hijriah?” Mukhlisin rasa bersalah.

Wajahnya sangat cemas.

“Nasib baik Allah masih lagi nak pinjamkan nyawa. Kenapa kau brek mengejut?” Hijriah kelihat agak marah dengan tindakan Mukhlisin itu.
“Aku…aku nampak Khazinatul Asrar melintas tadi…” jawab Mukhlisin dengan wajah yang pucat. Suis kereta dihidupkan kembali.
“Astargfirullahal azhim…cerita pasal dia sikit pun kau dah mula lalai dan berkhayal.

Patutlah dia tak nak layan lagi cinta kau waktu ni, nanti lagi dahsyat kau berkhayal,” tegas nada Hijriah. Tidak bergurau lagi. Namun hatinya dapat menafsirkan betapa dalamnya cinta Mukhlisin terhadap sahabatnya. Mukhlisin pula mula berdiam diri hinggalah tiba ke destinasi. Pelbagai persoalan yang bertandang di benak fikirannya kerana asyik memikirkan layakkah dirinya memiliki gadis pujaannya bernama Khazinatul Asrar.

Pada malam itu Hijriah menelefon Khazinatul Asrar memberitahu tentang dirinya yang pulang ke Kajang.

“Alah, Hijriah nie…dah tak lama lagi kita akan bercuti seminggu, tak sabar-sabar lagi nak berjumpa mummynya. Memang anak manja!” Khazinatul Asrar mengusik.
”Tak adalah. Saya balik pun bukan senang nak jumpa mummy dan daddy sendiri.

Waktu sarapan jea boleh tengok wajah mereka.
Saja…tak nak bagi rumah ni sepi sangat. Nanti, bila Asrar pulang untuk cuti seminggu, lagi sepi hidup saya. Kasihan kat saya kan…” Hijriah menagih simpati dalam nada bergurau. Tak lupa diceritakan peristiwa petang tadi dengan penuh emosi untuk mencungkil respond Khazinatul Asrar terhadap Mukhlisin.

“Bertuahnya Mukhlisin nanti.. kalaulah dia tak bertepuk seorang diri. Asrar kan?” Hijriah menguji temannya.
“Lebih bertuah lagi kalau dia boleh bezakan Maha Hebatnya cinta Allah daripada cinta manusia,” balas Khazinatul Asrar.
“Tapi, kadang-kadang cinta Allah hadir setelah mengenali orang yang mencintai Allah. Seperti Mukhlisin sendiri, dia dah mula nak mengenali cinta Allah dan berazam nak cuba membaiki kelemahan diri setelah mengenali awak,” hujah Hijriah.

“Hijriah, bersandar pada manusia hanyalah satu asbab yang kecil untuk mencintai Allah. Hakikatnya, segala kemahuan pasti ada jalan apatah lagi kemahuan yang baik untuk bercinta dengan Allah, pasti Allah akan permudahkannya. Pokoknya pangkalnya, tanyalah diri kita sendiri samada kita benar-benar mahu atau tidak… Allah memberikan taufiq kerana diri kita sendiri yang mencari hidayah-Nya. Yang pasti, Allah sentiasa menanti hamba-Nya dengan penuh cinta kerana Maha Agung-Nya sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah. Malangnya, tak ramai yang tahu menghargai cinta Allah terhadap hamba-Nya. Ciptaan Allah yang hina lebih dicintai daripada Penciptanya sendiri…,” lembut bicara Khazinatul Asrar. Hijriah membisu kerana cuba menghayati kata-kata itu.

“Hijriah, sebagai teman yang menjadi cermin sahabatnya, saya terpaksa tegur sesuatu…” Khazinatul Asrar membuka topik lain.

“Cakaplah..saya tak kisah. Saya tahu, kalau Khazinatul Asrar yang tegur kesilapan saya, tak lain tak bukan sebab sayangkan saya juga, kan?!” Hijriah menunjukkan reaksi bersedia.

“Hijriah, saya sebenarnya risau bila awak ceritakan yang awak menumpang kereta Mikhlisin. Bahaya tau berdua-duaan dalam kereta dengan lelaki ajnabi, besar fitnahnya. Tak takut ke?” Khazinatul Asrar tak suka berselindung dalam menegakkan amar ma’aruf dan nahi mungkar.
“Asrar, dia tu jiran saya! Saya dah cukup kenal perangainya. Mustahil dia akan buat jahat pada saya. Lagipun kat KL ni, masyarakat tak ambil kisah pasal ni semua. Diorang takkan buat fitnah apa-apa sebab diorang lagi dahsyat…” Hijriah cuba menjelaskan keadaan.

“Kalau tak takut fitnah masyarakat, at least takutlah fitnah syaitan yang boleh membisikkan maksiat pada hati. Kalau kita membiasakan diri buat kerja macam ni walaupun dengan jiran, lama-lama hati kita takkan menganggapnya salah lagi. Hilang thiqoh dan sifat wara’. Nau’zubillah! Ingat tak pada hadis Rasulullah S.A.W: “Jika berdua-duaan antara rijal dan nisa’, di antara mereka ada syaitan.”
“Astaghfirullah..macam saya tak pernah dengar pula hadis ni. Moga Allah ampunkan saya dengan Mukhlisin. Tapi, tolonglah jangan bersangka buruk pada Mukhlisin. Dia bukannya gatal-gatal nak tumpangkan saya, Cuma dia kasihan tengok saya sorang-sorang kat bus stop,” Hijriah membela Mukhlisin agar mendapat imej yang baik di hati Khazinatul Asrar.

“Asrar, kalau awak mengenali Mukhlisin pasti awak akan mengakui betapa bertuahnya awak dicintai lelaki sepertinya. Walaupun ilmu agamanya tak tinggi sangat tapi saya yakin dia bakal menjadi seorang doctor yang Islamik,” Hijriah masih mempromosikan Mukhlisin.

“Maaf, saya tak nak cakap soal ni. Hijriah, tidur nanti jangan lupa basuh kaki, gosok gigi, berwhuduk dan baca doa pelindung, ya! Manalah tahu kot kot Putera Libya menjelma dalam mimpi,” Khazinatul Asrar mengalih topik.
“Ish, ke situ pulak dia,” Hijriah sudah masak dengan telatah Khazinatul Asrar apabila diajak bicara soal lelaki.

Dua hari kemudian, Hijriah pulang semula ke kamsisnya. Ketika itu senja baru sahaja merangkak pergi. Azan Maghrib mendayu-dayu memenuhi ruang udara.

“Bila dia hubungi abah?” Tatkala Hijriah hendak mebuka pintu bilik, dia terdengar suara Khazinatul Asrar bercakap dengan abahnya. Tentu melalui handset.
“Baru semalam? Habis tu, apa pendapat abah?”
“……………………………………………………………………………………….” “Abah Tanya pendapat Asrar?! Asrar kan anak abah dan ummi, Asrar akan ikut cakap abah dan ummilah…” “………………………………………………………………………………”
“Apa kata ummi, bah?”
“………………………………………………………”
“Ummi takut pak cik dan mak cik tahu? Kenapa pula, bah? Bukankah pak cik dan mak cik dah pun bagaikan sebahagian daripada keluarga kita?” “………………………………………………………………………………………”
“Tak patutlah pak cik dan mak cik nak tentukan masa depan Asrar. Itu haq Asrar. Nasib baiklah abah dan ummi lebih memahami Asrar.”
“……………………………………………………………”
“Abah doakanlah… terima kasih sebab merestui Asrar!” “…………………………………….”
“Cuti nanti, bah?! Awalnya…Asrar takutlah, abah! Nantilah Asrar perbanyakkan solat, moga-moga Allah benar-benar bagi petunjuk pada Asrar. Asrar tahu, abah dan ummi pun sentiasa doakan kebahagiaan pada Asrar, kan?!” “……………………………………………”

Berkeriuk dahi Hijriah mengikuti perbualan Khazinatul Asrar di luar pintu bilik.
Bagaikan ada urusan penting yang dibincangkan dengan abahnya. Fikirannya cuba menafsirkan sesuatu daripada perbualan yang didengarinya. Dalam pada itu, pintu dikuak orang dari dalam. Rupanya Khazinatul Asrar sudah habis berbual dengan abahnya.

“Eh, Hijriah, bila sampai? Kenapa duduk di luar ni?” Khazinatul asrar agak terkejut apabila mendapati Hijriah tercegat di pintu luar.
“Baru jea sampai… Asrar nak pergi ambil wudhuk ke?” Tanya Hijriah pula.
“Mmm,” balasnya ringkas.
“Tunggu saya kat Musolla tu yea. Saya nak berjemaah Maghrib sama,” pandai Hijriah mengalihkan perbualan agar Khazinatul Asrar tidak menyedari kelakuannya sebentar tadi.

(((((((((((((((((()))))))))))))))))))))))

Entah mengapa hatinya serba tak kena apabila melihat bas Transnasional yang Khazinatul Asrar naiki sudah pun mula bergerak meninggalkannya di Hentian Putra itu sendirian. Begitulah kecamuk perasaannya tiap kali Khazinatul Asrar ingin pulang bercuti.

“Ya Allah, selamatkanlah perjalanannya,” hatinya berdoa. Hijriah sebenarnya dilanda persoalan kerana masih basah diingatannya suatu perkataan yang sempat dicuri-curi baca dalam carta perancangan Khazinatul Asrar ketika dia sedang menolong sahabatnya itu berkemas sebelum pulang bercuti.

15 Rabiul Awwal-Having promised to marry-engagement.

“Asrar balik nak bertunang ke?” fikirnya sendiri. Dia terlalu ingin tahu, tetapi agak keberatan untuk bertanya pada Khazinatul Asrar kerana mungkin Khazinatul Asrar ingin merahsiakan perkara itu. Entah mengapa tiba-tiba pula hatinya menafikan sekeras-kerasnya kemungkinan itu kerana Asrar tak pernah mencintai mana-mana lelaki. Tapi… apakah makna tulisan itu? Ah…mungkin pertunangan saudaranya atau jirannya atau temannya atau… Hijriah bermonolog sendiri. Bertandang pula bait-bait perbualan antara Khazinatul Asrar dan abahnya tempoh hari. Hijriah terus melangkah pulang ke kediamannya dengan persoalan itu dan bayangan kesepian yang bakal menemani.

Setibanya di perkarangan rumah, dia melihat kereta mummynya diparking dalam garaj kenderaan di hadapan rumah.

“Mummy ada di rumah!” otaknya menafsirkan seterusnya meransang senyuman pada bibir Hijriah yang sentiasa merindui saat-saat bersama orang tuanya.

Kelihatan Datin Azlinda sedang bersantai di ruang menonton sambil membelek-belek majalah Anis kepunyaan Hijriah yang ditinggalkannya di situ. Apabila menyedari kepulangan Hijriah, mummynya itu berwajah ceria sambil menyambut salam anak gadisnya. Pada malam itu, dia memperuntukkan masa untuk duduk di rumah bagi meraikan Hijriah yang pulang bercuti.

“Dari mana anak mummy ni?” soal Datin azlinda cuba menterjemahkan kasih sayang seorang ibu.
“Hijriah dari hutan, berkawan dengan pokok sebab mummy dan daddy bukannya selalu ada di rumah…” Hijriah bergurau, mohon simpati.
“Tak kan Hijriah tak faham..mummy dan daddy sibuk. Tapi, kami selalu ambil berat pasal hijriah, tau! Kami bekerja pun untuk kesenangan anak tunggal yang sorang ni juga,” pujuk datin Azlinda.
“Buat apalah dikejar sangat harta tue mummy…Hijriah tak perlukan semua tu! Biar kaya kasih sayang daripada kaya harta. Lagi baik kalau kaya iman,” Hijriah bercakap tanpa berlapik lagi. Datin Azlinda faham perasaan Hijriah. Dia cuba mencari topik lain untuk menjernihkan keadaan.
“Hijriah, nama apa datin sebelah rumah kita tue?” soal Datin Azlinda walaupun sudah lebih dua puluh tahun hidup berjiran.
“Eh, kenapa tiba-tiba pula mummy nak kenal auntie tu?” Hijriah kehairanan.
“Mesti Hijriah pun tak kenal juga auntie tu, kan? dalih Datin Azlinda.
“Macam mana Hijriah nak kenal, mummy tak pernah ajar Hijriah menegur jiran. Tapi Hijriah kenal anak kedua datin tu sebab dia pun belajar di UKM, cuma kampusnya di KL bukan di Bangi coz dia course Medic. Ahmad Mukhlisin namanya.” Celoteh Hijriah.
“Sedap nama budak tu, patutlah akhlak pun baik!” kata Datin Azlinda.
“Aik? Mummy kenal dia ke?” soal Hijriah.

“Taklah kenal sangat… tapi mummy selalu sangat bertembung dengannya di mana-mana. Petang semalam, dia tegur dan tolong angkut barang mummy ke bonet kereta waktu mummy shopping di Mid Valley. Itulah kali pertama kami berbual-bual,” cerita Datin Azlinda.
“Setakat tolong angkut barang, Hijriah pun boleh buat…” Hijriah menyindir Mukhlisin sebenarnya.
“Bukan tue saja… sejak kebelakangan ni, tiap kali pulang dari office, mummy sering terserempak dengan dia bersiap-siap nak ke masjid dengan baju melayu, kepiah putih dan kain pelikat. Bukannya senang nak tengok pemuda KL macam tu, course Sciences pulak tu. Sejuknya hati mummy tengok dia,” Datin Azlinda seakan-akan mempromosikan Mukhlisin kepada anak gadisnya.
“Betul ke mummy? Tentu dia baru belajar nak selalu ke masjid tu, sebelum ni dia bukan begitu…”
“Eh, macam mana Hijriah boleh kata macam tu?”
“Dia kawan Hijriah. Dah dekat dua tahun kami berkawan. Hijriah kenal sangat dia tu macam mana orangnya,” jelas Hijriah.
“Baguslah Hijriah berkawan dengan pemuda baik macam tu. Sejuk hati mummy mendengarnya. Err…anak mummy ni berkawan dengan serius ke?” Dtain Azlinda menduga anak gadisnya yang makin meningkat dewasa itu.
“Ish, tak ada lah! Hatinya dah berpunya. Hati Hijriah pun dah berpunya. Dia sukakan kawan Hijriah yang selalu Hijriah ceritakan pada mummy tu…”
“Oh,Khazinatul Asrar yea?!” duga Datin Azlinda.
“Ha…ingat pun mummy. Mummy tahu tak, Mukhlisin berubah menjadi waro’ macam tu sebab dia nak sepadan dengan Khazinatul Asrar. Tiap-tiap hari dia call Hijriah bertanyakan amalan-amalan yang biasa dilakukan oleh Khazinatul Asrar. Dia akan cuba untuk mengamalkannya sama…”
“Hebatnya gadis tu hingga mengubah personality seorang lelaki!” Datin Azlinda berasa kagum.
“Bukannya Mukhlisin jea yang mendapat tempias iman Khazinatul Asrar, tapi Mukhlisin cakap ibunya sendiri merasainya…”
“Bagaiman?” Datin azlinda keliru.
“Yea lah…mummy perasan tak yang datin sebelah rumah kita ni dah bertudung? Datin tu malu melihat Mukhlisin…” jelas Hijriah.
“Apa kaitannya dengan Khazinatul Asrar?” gerutu Datin Azlinda lagi.
“Disebabkan Khazinatul Asrar lah Mukhlisin berazam nak mengajak mamanya mengenal syariat. Dia yang menghadiahkan tudung kepada mamanya. Mukhlisin cakap dia bimbang kalau-kalau Khazinatul Asrar sedih melihat bakal ibu mertuanya tidak bertudung. Entahlah mummy, yang penting Hijriah bertuah sebab ada seorang mummy yang cantik bertudung. Cuma masih ada jambul sedikit kat depan. Kalau jambul mummy tu turut masuk dalam tudung tentu lagi cantik mummy Hijriah ni, barulah daddy makin sayang,” usik Hijriah yang tersirat dakwah. Datin Azlinda tersenyum lembut dengan telatah Hijriah. Hatinya akur bahawa mungkin anaknya itupun turut ditempias oleh nur iman melalui sahabatnya yang bernama Khazinatul Asrar.

******************************************

Cuti pertengahan semester telah berakhir… Final exam semakin hampir. Segulung ijazah yang diperjuangkan oleh setiap mahasiswa, mengimarahkan lagi library Tun Sri Lanang di musim-musim exam sebegitu. Para mahasiswa yang kampusnya di KL biasanya tidak lagi meninjau-ninjau kampus induk di Bangi. Terutamanya, pelajar tahun akhir. Kesibukan mereka tentunya berganda kerana itulah exam terakhir yang akan menentukan CGPA mereka.
Kelihatan di salah satu sudut dalam perputakaan itu, seorang gadis sedang khusyuk membuat revision.

“Malam ni aku mesti berani!” bisik hati Tsabit sambil langkahnya menghala ke arah gadis itu. Awal-awal lagi dia telah menjangka bahawa Khazinatul Asrar pasti bertandang ke situ.
Tatkala salam pemuda itu disambut, Khazinatul Asrar cuba menenangkan raut wajahnya yang kurang senang dengan kehadiran Tsabit.
“Asrar, saya tak berniat nak mengganggu awak…tapi saya inginkan jawapan! Tolonglah…hati saya tak tenang untuk hadapi final exam nanti.” Tsabit tidak berselindung lagi.
“Jawapan?” Asrar berpura-pura membangkitkan soalan.
“Kau tentu tahu erti sekuntum mawar, kan?” balas Tsabit.
“Err…saya hanya tahu erti duri mawar. Awak juga pasti lebih tahu erti duri mawar, kan?”Khazinatul Asrar turut berkias.
“Asrar, saya tak kisah kalau awak tak suka layan saya. Saya menghormati duri yang memagari batas pergaulan awak. Tapi, tolonglah berikan saya harapan. Hormatilah perasaan saya. Saya tak mungkin mencintai awak jika bukan ianya naluri lahiriah anugerah Allah…Niat saya ikhlas!!!” Tsabit berani berterus-terang. Mukanya nampak serius. Khazinatul Asrar menarik nafas panjang. Dipandangnya sekeliling. Bimbang kalau-kalu situasi itu mengganggu konsentrasi student lain.
“Tapi awak juga tak pernah menghormati perasaan Hijriah setelah awak berinya harapan…” kata-kata itu tajam menikam naluri Tsabit bagaikan tikaman duri mawar.
“Oh...rupa-rupanya selama ini Hijriah lah punca kesangsian awak pada cinta saya. Gadis KL yang manja mengada-ngada tue. Dia bukan gadis idaman saya. Dia..”
“Cukup! Cukup Tsabit! Jangan salah sangka dan cuba memburuk-burukkan sahabat saya. Hijriah gadis yang baik! Cuma awak yang tak pernah nampak kebaikannya. Siang malam dia berdoa agar Allah permudahkan segala urusan awak. Dia setia pada cinta. Bawalah kebahagian untuknya. Kebahagiaan Hijriah sebahagian daripada kebahagiaan saya juga. Dia menanti awak…” nada Khazinatul Asrar beransur-ansur menjadi semakin lembut. Memujuk.

“Tapi itu bukanlah alasan untuk awak mempersia-siakan perasaan saya pada awak!” Tsabit masih menaruh harapan. Pujuk rayu pemuda kacak itu sedikit sebanyak turut mengusik jiwa kewanitaan Khazinatul Asrar. Serba salah dibuatnya.
“Tsabit...maafkan saya. Saya sebenarnya tak pernah merasakan apa-apa kelebihan pada diri saya untuk sewenang-wenangnya menolak awak. Tapi....” tuturnya terhenti di situ. “Tapi apa? Cakaplah Asrar...” Tsabit merayu.
“Saya pentingkan fikrah teman hidup saya!” tegasnya.
“Fikrah?” Tsabit kurang faham maksud kata-kata itu.
“Fikrah seseorang terbukti melalui hala tuju hidupnya. Saya rindukan seorang lelaki yang berfikrahkan dakwah dan perjuangan. Ianya takkan terbukti hanya melalui kata-kata...” jelas Khazinatul Asrar.
“Awak meragui fikrah saya? Saya dah banyak mempersiapkan diri dengan buku-buku fikrah kerana saya mempunyai visi hidup yang jelas dan untuk menyamai cita rasa awak juga. Saya berusaha keras dalam akademik untuk mengatasi awak. Saya berusaha membaiki akhlak dari semasa ke semasa supaya awak akan menerima saya. Awaklah inspirasi dalam hidup saya selama ini. Apalagi yang awak mahu saya lakukan? Saya terlalu cintakan awak, Khazinatul Asrar. Tolonglah...saya perlukan jawapan!” Tsabit memuntahkan perasaan yang meluap-luap terbuku di dadanya.
“Astaghfirullahal azhim...nampaknya diri saya telah melalaikan hidup awak selama ini.

Malangnya diri awak kerana meniatkan itu semua kerana saya. Siapalah sangat diri saya ni? Hanyalah seorang gadis yang lemah, diciptakan Allah dari setitis air mani yang jijik... tidakkah awak terfikir untuk meniatkannya kerana Allah S.W.T, Tuhan yang menciptakan diri saya, awak dan seluruh alam maya ni?! Beristighfarlah Tsabit... kerana memberikan saya cinta sebegini. Saya tak minta untuk dicintai melebihi Pencipta saya...” Khazinatul asrar berasa agak kesal dengan pengakuan Tsabit.

“Asrar, kerana ingin dekat dengan Allah lah, saya mencintai awak. Saya yakin awak boleh membawa bi’ah solehah dalam keluarga saya dan ibu mithali untuk zuriat saya nanti agar generasi kita adalah generasi yang mengenal Allah dengan hati dan amalan..” luah Tsabit lagi, tidak malu untuk berterus terang.
“Tapi, awak tak boleh terburu-buru meminta jawapan daripada saya begini!” keluh Khazinatul Asrar.
“Terburu-buru? Saya bimbang kalau saya terlewat memenangi hati awak, Asrar.
Awak takkan faham jiwa lelaki. Lelaki yang terpaksa mencari pasangan, perempuan hanya perlu menanti dan membuat pilihan. Awak tahu tak betapa resahnya hati saya bila nama orang yang saya sayangi sering menjadi siulan ramai siswa di kamsis saya.
Lebih-lebih lagi, bila saya dapat tahu awak turut digila-gilakan oleh seorang pelajar tahun akhir di kampus Medic. Tengoklah, hingga ke sana nama awak pergi. Kalau awak di tempat saya, awak sendiri tak kan keruan...” rungut Tsabit pula.

“Tapi saya berhak mempunyai lelaki impian saya sendiri. Bukannya boleh dipaksa begini. Saya idamkan seorang lelaki yang jelas fikrahnya dan sanggup mewakafkan diri dalam perjuangan Islam agar generasi saya adalah generasi yang menjadi pewaris risalah dakwah Rasulullah S.A.W, penerus kebangkitan Islam..”
“Awak tak yakin dengan saya Asrar? Tak jelas lagikah fikrah saya ni?” Tsabit semakin diamuk kekecewaan dalam memenangi hati gadis itu.
“Tapi….” Khazinatul Asrar cuba menjelaskan.
“tapi, apa lagi? Mungkin alasan lain pula yang awak cari…” kata-kata itu mendesak KHazinatul Asrar menerangkan rahsia hatinya.
“Tsabit, biarlah saya jelaskan. Saya harap awak dapat menerimanya dengan rasional dan terbuka.” Nafas ditarik panjang.
“Jelaskan, Asrar. Saya dah tak sanggup lagi disiksa begini…” dengus Tsabit.
“Sebenarnya hati saya baru dimiliki seorang lelaki,”
“Apa?” Tsabit seolah-olah tidak percaya.
“Ya, Tsabit! Cincin ni menjadi saksi,” sambil jari jemari halus yang biasanya terselindung di sebalik tudung labuh itu diangkat ke atas meja. Terbeliak biji mata Tsabit melihat sebuntuk cincin emas bertakhta berlian begitu berseri menghiasi jari manis Khazinatul Asrar.
“Tsabit, cinta saya pada lelaki pilihan Allah buat saya ini tidak boleh dikongsi sesiapa. Nilainya terlalu mahal untuk dicemari lelaki lain bahkan namanya sekali pun.

Sekian lama kesucian saya pelihara dengan mujahadah yang hakikatnya perit. Izinkan saya terus setia pada bakal suami saya kerana saya pasti takkan menyatukan namanya dengan mana-mana lelaki…” ketegasan gadis itu menikam lagi.
Tsabit terdiam seribu bahasa. Tidak disedari air mata kelelakiannya yang mahal itu menitis dengan murahnya di hadapan Khazinatul Asrar. Hatinya remuk menerima kenyataan itu. Mawar yang dipujanya selama ini rupanya mekar di jambangan orang.
Dia pantas berlalu meninggalkan Khazinatul Asrar dengan wajah yang sarat kekecewaan dan kesedihan, membawa bersama pedihnya racun duri mawar yang berbisa.

“Oh Tuhan…Pencipta mawarku!!!” jerit batinnya cuba merawat luka yang dalam menusuk ke tangkai nurani. Nama Pencipta terungkap jua di sudut hatinya. Khazinatul Asrar masih bersikap tenang. Dia berasa tenteram kerana sekurang-kurangnya terlaksanalah amanah untuk menjadi wanita yang bisa mengetuk pintu kelalaian lelaki dan kesetiaannya pada si dia masih terpelihara. Jauh di sudut hatinya dia berdoa agar Allah memimpin Tsabit agar tidak tewas dengan kecamuk perasaanya sendiri.
“Ya Allah, kenalkan dia pada agungnya cinta-Mu..” tulus doanya.

“Asrar….cantik tak saya?” suara riang Hijriah mengganggu konsentrasi Khazinatul Asrar yang datang lebih awal ke dewan kuliah. Penampilan Hijriah dengan tudung labuh berwarna peach dan jubah coklat gelap bersulam emas di tengah menyerlahkan keagungan seorang muslimah. Sebelum ini T-shirt lengan panjang sahaja dikenakan. Selendang bawal bermanik ringkas ataupun tudung turki dijadikan hiasan. Kadang-kala dipakainya juga baju kebaya supaya nampak agak sopan.

Khazinatul Asrar mengukir senyuman sambil mengucap kesyukuran. Teman-teman yang lain turut terpegun dengan keanggunan Hijriah berpakaian sopan. Setiap pasang mata singgah ke situ.

“Bermula hari nie InsyaAllah Hijriah akan berhijrah…berhijriah untuk menutup aurat dengan sempurna!” Hijriah mengumumkan dirinya di tengah khalayak teman-teman sekuliah sambil ekor matanya melirik pada Khazinatul Asrar.
“Hijriah, iman lebih utama Hijriah,” Khazitul Asrar mengingatkan.
“Inipun salah satu bukti hijrah iman, kan?” balas Hijriah, bijak. Khazinatul Asrar mengangguk setuju.
“Asrar, bukankah ini adalah sunnah para sahabiah yang akan terus unggul meredah arus, menyusur waktu…takkan lapuk dek zaman,” Hijriah mengulangi mutiara hikmah yang pernah diungkap oleh Khazinatul Asrar suatu ketika dahulu.
“Moga kau istiqomah sahabatku..” balas Hijriah.

Humaira’ bangun menghampiri Hijriah.

“Malaikat Rokid yang saban hari mencatatkan amal kebajikan tentu tersenyum bangga memberi markah cemerlang kepada kamu dari sudut menutup aurat,” kata Humaira’ memberi galakan.
“Betul tue…di Mahkamah Mahsyar nanti markah inilah yang turut membantu memberatkan timbangan amalan di neraca mizan,” celah Khziantul Asrar.

Fadhila yang baru datang ke dewan kuliah, terus saja tertumpu pandangannya terhadap Hijriah.
“Eh, ada pelajar baru ke? Cantik macam Puteri Pakistan!” usik Fadhila sambil langkahnya terus menuju ke arah Hijriah.

“Hijriah…cantiknya kau kenakan pakaian sebegini. Nampak ayu dan sopan. Err…kalau aku yang memakainya tentu lebih lawa,” celoteh Fadhila lagi sambil tangannya rancak membelek-belek tudung dan jubah yang Hijriah kenakan.
“Fadhila, jomlah berhijrah sekali. Lagipun, memilih jubah dan tudung labuh sebagai penghias diri ibarat memilih untuk mendapat pointer cemerlang di dalam exam,” pujuk Hijriah…berda’wah.
“Maksud kau?” Fadhila tidak faham.

“Yealah, Malaikat Rokidkan setiap saat akan memberi markah untuk exam di dunia nie..resultnya nun di akhirat. Pilihlah amalan terbaik untuk exam yang sedang kita lalui nie. Betul tak?!!” terang Hijriah. Fadhila hanya berkerinsing sambil menjeling jeans dan t-shirt buatan Italy yang sedang dipakainya itu.
“Syabas, Hijriah. Saya bangga awak berhijrah dengan ada hujah bukan taklid semata-mata,” KHazinatul Asrar meluahkan kegembiraannya dengan perubahan Hijriah itu. Hijriah hanya tersenyum sambil anak matanya liar mencari-cari seseorang. Khazinatul Asrar dapat menduga pasti Tsabit yang dicarinya .

“Tsabit pun pasti bangga dengan penampilan ini,” Khazinatul Asrar mengusik Hijriah diekori senyuman penuh makna oleh teman-teman yang lain.
“Kenapa Tsabit belum datang lagi?” Hijriah separuh berbisik. Teman-teman yang lain berdehem-dehem turut mengusik. Khazinatul Asrar teringatkan peristiwa dua hari yang lalu di saat dia membongkar status dirinya yang telah disunting orang kepada Tsabit walaupun hal itu merupakan rahsia dirinya yang disembunyikan daripada pengetahuan sesiapa termasuk Hijriah sendiri. Mungkin Tsabit masih merajuk.

Soalan Hijriah berlalu tanpa jawapan. Seketika kemudian pensyarah pun masuk.
Tsabit memang tak datang-datang.
Seminggu berlalu barulah Tsabit mula datang ke kuliah. Personalitinya yang sebelum ini periang dan peramah bertukar menjadi pendiam. Wajahnya kelihatan cengkung dengan mata yang agak bengkak. Pakaiannya pun tidak sekemas selalu.

“Sakitkah dia?” bisik hati Hijriah kebimbangan. Takut untuk didekati pemuda idamannya itu kalau-kalau menambahkan maksiat pada hati pula.
“Maafkan aku, Tsabit!” hanya itu ungkapan yang mampu dibisikkan oleh suara hati Khazinatul Asrar.
“Semoga cinta Allah tidak akan mengecewakanmu!” hatinya berbisik lagi.

Hari itu pensyarah masuk lebih awal. Ketika mendengar kuliah, Tsabit hanya menongkat tangan ke dagu seperti orang yang tiada mood namun matanya asyik memerhati seseorang. Hijriah…..ya, Hijriah! Anggun sekali Hijriah dengan tudung labuh dan jubahnya. Lama direnungnya gadis itu.
“Mawar berduri bukan sekuntum,” bisik hati Tsabit sambil tiba-tiba dia tersenyum sendiri. Tsabit sebenarnya seseorang yang berfikiran rasional.


*******************************************

Medan final exam akhirnya dihadapi jua oleh semua warga UKM. Di saat-saat genting begitu, ramailah siswa dan siswi yang sibuk mencari Allah dalam solat hajat dan sebagainya. Demikianlah fitrah seorang hamba, sejauh mana sekalipun dia lari dari Allah S.W.T, akhirnya dia akan pulang jua mencari Tuhannya. Orang yang mengenali Allah di saat tenang, InsyaAllah akan dikenali Allah di saat kesusahan.
Rentetan daripada final exam itu, semua mahasiswa bercuti tiga bulan dan mahasiswa tahun akhir menunggu majlis konvokesyennya. Khazinatul Asrar termasuklah orang yang paling gembira kerana kepulangannya kali ini setelah menamatkan pengajiannya peringkat ijazah sarjana muda dan kecintaannya kepada ilmu mendorongnya berazam untuk meneruskan lagi pengajian peringkat Master dan Phd di Menara Gading. Di samping itu ada saat yang sangat bermakna, tersirat di sebalik cuti panjang kali ini.
Nun di Kuala Lumpur, Hijriah menghitung hari-hari yang penuh sepi dalam hidupnya sepanjang cuti sebelum majlis konvokesyen diadakan. Namun, perubahan personalitinya menyebabkan mummy dan daddynya lebih positif untuk mengambil berat tentang dirinya walaupun mereka sentiasa sibuk mengejar kekayaan dunia.
Hijrah tetap penyejuk mata mereka sebenarnya.

Pada suatu hari, Hijriah begitu riang menerima sekeping kad wangi dari negeri Pantai Timur. Cantik sekali kad itu dengan berlatarkan sekuntum mawar berduri yang mekar dalam jambangan di perkarangan sebuah masjid. Seekor putera kumbang begitu gah menghinggapi si bunga mawar. Hijriah tersenyum menatap kad yang berwarna pink susu itu. Unik.

“Wanita beriman memang untuk lelaki beriman. Demikian janji Allah!” bisik hati kecil Hijriah. Rupa-rupanya selama ini ada episod cinta yang betul-betul terjaga dalam hidup Khazinatul Asrar. Semuanya tersembunyi menjadi rahsia. Inilah erti cinta kerana Allah yang sebenar-benarnya.
“Asrar, dalam diam-diam awak ke gerbang perkahwinan. Sejak bila pulak awak bercinta ?” demikian soalan Hijriah dalam perbualan telefonnya dengan Khazinatul Asrar pada malam itu.
“Sejak awal perkenalan lagi cinta kami dah berputik.Tapi tak perlulah dipuja-puja. Cukuplah perantaraan tazkirah saban minggu menjadi bukti cinta kami disulam atas dasar mencari keredhaan Allah bukannya menambahkan kelalaian dari meningati-Nya,” hanya itu yang Khazinatul Asrar dedahkan tentang percintaanya. Tulus. Suci.

Cinta yang penuh rahsia.

“Oh, awak rahsiakan percintaan awak daripada saya, ya! Pertunangan awak pun tanpa pengetahuan saya. Sampai hati awak…..”Hijriah cuba menduga respond temannya.
“Maafkan saya, Hijriah. Saya sebenarnya tak nak perkara ini diheboh-hebohkan.

Awak kan tahu saya ni salah seorang perwakilan pelajar, boleh jadi isu nanti. Banyak mudhoratnya pada hati saya. Saya harap awak akan memahami saya,” jelas Khazinatul Asrar.

“Saya betul-betul tak sangka! Rahsianya cinta awak…..patutlah dalam diam-diam awak arif tentang hakikat cinta,”sindir Hijriah lembut.


..BERSAMBUNG..