“Nak kata saya bercinta…tak jugak! Sebabnya, sebelum dia melamar saya, saya tak pernah menganggapnya lelaki teristimewa kerana masih ada kemungkinan bahawa dia bukanlah lelaki yang diciptakan untuk saya. Jadi, Alhamdulillah…. terjagalah sikit hati saya dari terkenang-kenangkan padanya. Setelah hampir habis belajar, dia cepat-cepat menghubungi ummi dan abah saya di kampong. Saya dah beberapa kali istikhorah dan hati saya terasa cukup terbuka untuk menerimanya. Lagipun, abah saya menasihatkan……. kalau dah terlalu banyak sangat ujian dan fitnah dari lelaki baik percepatkan saja walimah . Saya akur…..”
“Patutlah awak bagaikan tak pernah bercinta walaupun sebenarnya bercinta…..err..perkahwinan awak ni nanti pun akan diasrarkan (rahsiakan)?”usik Hijriah.
“Ish, tak de lah. Buat apa nak disorok-sorokkan ikatan yang sah di sisi syaro’. Malah perkahwinan perlu diiklankan untuk merasmikan hubungan. InsyaAllah, seluruh warga UKM akan menerima undangan saya nanti…” jelas Khazinatul Asrar.
“MasyaAllah…tentu kecoh UKM dengan berita ini nanti. Harap-harapnya tak adalah kes mana-mana siswa yang bunuh diri sebab kecewa dengan awak,” Hijriah mengusik lagi.
“Nau’zubillah. Semoga Allah takkan jadikan saya asbab kepada kebodohan mana-mana lelaki,” Khazinatul Asrar memberikan respond yang serius.
(((((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))))))))
Majlis konvensyen pada tahun itu disambut secara gilang-gemilang. Upacara tahunan itu memang meriah diadakan pada setiap tshun. Pra graduan kelihatan begitu gembira dan bangga diiringi keluarga terutamanya ayah dan bonda.
Masing-masing juga begitu bergaya menggayakan jubah konvo di atas gahnya menara gading. Senyuman, pujian dan gelak ketawa saling bersebati menyerikan lagi suasana penuh keriangan pada hari bersejarah itu.
Kelihatan Tsabit bersama ayahnya yang berdarah Libya serta ibunya, Datin Nordina baru sahaja menuju masuk ke erkarangan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kereta mewah itu mencari tempat parking betul-betul di Taman Tasik Kejuruteraan.
Keluarga Hijriah juga ada disitu seperti telah dirancang. Memang semuanya suatu perancangan. Pada hari konvokesyen yang penuh makna itu, Tsabit El-Husainie dan Hijriah akan diikat dengan jalinan pertunangan. Hijriah lebih-lebih lagi merasa gembira dan bersyukur kerana sejak keluarga Tsabit datang merisik dirinya pada cuti panjang yang lalu, mummy dan daddynya mula menunjukkan perubahan positif terhadap dirinya kerana mereka mula merasakan bahawa Hijriah akan pergi daripada mahligai mereka yang dah pun setiasa sepi. Buktinya, daddynya sanggup membatalkan satu mesyuarat penting demi menghadiri hari yang membahagiakan anaknya itu.
“Marilah kita mulakan pertukaran cincin…,” getus Datin Azlinda, mummy Hijriah. Dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melihat jari manis anak gadisnya diserikan berlian.
“Nantilah mummy… tetamu yang paling istimewa untuk majlis ini belum tiba lagi.
Betul tak, abang Tsabit?!” Hijriah memujuk ibunya sambil pandangannya sejak tadi meninjau-ninjau seseorang. Tsabit cuma tersenyum.
Tidak lama kemudian, sepasang mawar dan kumbang yang diapit kedua keluarga kedua-dua pasangan berjalan menuju ke arah tempat keluarga Tsabit dan Hijriah berkumpul. Pasangan itu kelihatan begitu romantis berpegangan tangan.
Masing-masing berjubah konvo. Pada wajah masing-masing terpancar sinar kebahagiaan. Pasangan itulah yang mereka nanti-nantikan.
“Aku pasrah jika kumbang sehebat ini akan menemani hidupmu duhai mawar berduriku,” bisik hati Tsabit sendirian mengubat luka hatinya yang kian sembuh itu.
“Asrarrrrr…” Hijriah menjerit kecil, meluahkan lonjak hatinya.
“Nak honeymoon kat mana?” usik Hijriah sambil bersalam berpelukan dengan sahabat yang cukup dirindui sekian lama.
“Honeymoon? Alah..cukuplah sekadar kami buat umrah sama-sama beberapa bulan lagi. Yelah nak cari keberkatan untuk rumah tangga kami,” jelas Khazinatul Asrar.
“Hah Hijriah…bila pulak giliran kamu? Jangan sampai Asrar tak sempat nak dating pula,” Puan Zahra, ibu Khazinatul Asrar juga pandai mengusik sambil menguntum senyuman kepada Datin Azlinda.
“Apa sal tak sempat pulak makcik?” duga Hijriah dengan usikan itu.
“Eh? Asrar tak cakap ke yang hujung tahun nie dia dan suaminya akan berangkat ke Mesir untuk menyambung pelajaran dalah bidang Falsafah Islam?!” Puan Zahra membongkar perancangan Khazinatul Asrar dan suaminya.
“Betul ke nie?” Hijriah minta kepastian.
“InsyaAllah..tapi ianya masih dalam perancangan! Kalau diizinkan Allah sampailah kami ke sana,” suami Khazinatul Asrar bersuara.
“Hijriah, buatlah cepat-cepat kenduri nie, tak adalah kami kempunan nak merasa nasi minyak Datin Azlinda dan Datin Nordina… lagipun, tak baik melambatkan ikatan yang baik,” celah Khazinatul Asrar mengusik.
Hijriah menjeling Tsabit sambil tersipu malu. Semua yang ada ketawa melihat telatah manja Hijriah. Suasana semakin ceria.
Serentak dengan itu, sebuah kereta perdana berhenti di situ. Keluarlah Mukhlisin bersama Faranaqwiah, teman seperjuangan Khazinatul Asrar. Juga berjubah konvo.
Pasangan suami isteri yang baru seminggu diijab kabulkan itu kelihatan begitu mesra berjalan seiringan melangkah ke arah mereka semua. Pandangan Mukhlisin tidak berganjak memandang seorang lelaki yang cukup terkenal di UKM. Segaknya dia mendampingi Khazinatul Asrar. Bagaikan cincin dengan permata. Bagai pinang dibelah dua.
“Lelaki ini rupanya yang menjadi penawar bisa syauqah (duri),” bisik hati Mukhlisin.
“Tahniah atas perkahwinan ini!” ucap Mukhlisin sambil bersalaman dengan Mustaqhim Al-Qordhowi. Presiden PMUKM yang cukup disegani ramai itu dengan membalas ucapan yang sama.
Khazinatul Asrar dan Hijriah pula mengusik-ngusik Faranaqwiah. Gadis pemalu itu pantang diusik, pasti merahlah kedua-dua pipinya… bagaikan kelopak mawar. Tsabit tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Mukhlisin dan pasangannya. Suasana penuh mesra. Air tenang Tasik Kejuruteraan bagaikan turut gembira. Beburung berkicau riang, bertasbih memuji Allah. Itulah irama alam.
“Aku redha, Khazinatul Asrar! Allah lebih bijak menentukan. Faranaqwiah pun tak kurang istimewanya. Hadiah Allah buatku…” hati Mukhlisin sempat juga bermonolog sendiri. Matanya terus melirik penuh kasih kepada isterinya.
“Terima kasih, Asrar… kerana bersusah payah menemukan kami sebagai pasangan suami isteri,” Faranaqwiah memeluk erat sahabatnya.
“Oh, Asrar lah orang tengah rupanya…ish, tak sangka betul saya! Puas saya berfikir macam mana agaknya Mukhlisin boleh tackle exco PMUKM. Rupa-rupanya…..” Hijriah berceloteh.
“Ish, tak adalah. Saya Cuma memudahkan jalan. Allah jualah yang memang dah rancang pertemuan ni,” Khazinatul Asrar menafikan.
“Oh…saya tak tahu sampai bila saya harus menunggu untuk menyarungkan cincin perak ini ke jari bakal menantu saya,” keluh daddy Hijriah diikuti gelak ketawa mereka semua.
“Ok…sekarang kita mulakan!” ayah Tsabit membuat keputusan. Ikatan pertunangan itu terjalin sebaik sahaja ibu Tsabit menyarung cincin ke jari Hijriah dan ayah Hijriah menyarung cincin ke jari Tsabit. Mustaqhim Al-Qordhowi menyambut dengan mengamin doa memohon keredhaan Allah S.W.T.
(((((((((((((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))))))))))))))
“Aku takkan kahwin kalau bukan dengan Khazinatul Asrar!” itulah kata-kata terakhir Asyraf kepada keluarganya sebelum bertolak ke Jepun. Perginya sarat dengan kekecewaan. Dia merajuk dengan perkahwinan Khazinatul Asrar. Dia masih belum dapat menerima hakikat bahawa gadis pujaannya selama ini tidak ditakdirkan Allah untuknya. Bukan dia sahaja yang kecewa, seluruh keluarganya juga turut terasa.
“Zalimnya keluarga Khazinatul Asrar!” itulah antara bisikan-bisikan syaitan yang sering meracuni mereka. Mereka lupa pada kuasa Allah dan qodo’ qodar yang sudah sedia tertulis di Loh Mahfuz.
“Bang, Asyraf bang… kalau dia tak kahwin, macam mana dengan hidupnya nanti?!” luah hati seorang ibu bimbang.
“Ini semua kerana Khazinatul Asrar! Tak patut..tak patut…sanggup dia memusnahkan impian keluarga kita!” berputik dendam di hati ayah jurutera komputer itu. Menantu idaman yang sekian lama disanjung olehnya dan isterinya akhirnya sewenang-wenangnya manjadi milik orang. Mereka langsung tidak dimaklumkan dengan berita pertunangan Khazinatul asrar. Sedar tak sedar, mereka dijemput menghadiri majlis perkahwinannya.
“Kejamnya situasi ini! Kenapa reality sebegini terjadi? Adilkah Asyraf menanggung semua ini setelah sekian lama setia menanti gadis itu menamatkan pengajiannya?
Mengapa Asyraf tiada pengertian apa-apa baginya? Adilkah ini? Adilkah ini?” monolog hati mereka diamuk kekecewaan.
(((((((((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))))))))))))
“Ummi, lama tak nampak keluarga bang Asyraf ke rumah kita, kan?!”
Khazinatul Asrar teringatkan keluarga itu. Soalan itu menyentap ketenangan Umminya tiba-tiba. Terngiang-ngiang lagi tangisan makcik Nab yang meratapi pemergian anak sulung ke Jepun. Baru semalam, dia mendapat berita itu melalui telefon. Ummi Khazinatul Asrar merenung wajah putihnya. Tak tergamak untuk diceritakan apa yang berlaku. Masakan tidak, puterinya itu baru sahaja melangkah ke gerbang perkahwinan. Masih terlalu awal baginya untuk dihukum dengan berita kekecewaan Asyraf sekeluarga di atas kebahagiaannya.
Khazinatul Asrar kehairanan melihat reaksi Umminya yang kelihatan kaku dan tercengang. Pandangannya dilontar ke luar jendela. Suami dan ayahnya masih belum pulang dari Bandar untuk menguruskan urusan umrah mereka sekeluarga beberapa minggu sahaja lagi. Dilihat Umminya masih terdiam, memikirkan sesuatu. Tiada respond apa-apa. Kaku.
“Kenapa Ummi diam jea nie?” Khazinatul Asrar cuba menduga.
“Asrar ada buat silap dengan Ummi ke?” lembut suaranya sambil melangkah perlahan dari jendela, malabuhkan punggung di sofa empuk, di sisi umminya.
“Tak de lah..” hanya sepatah suara ummi yang membalas. Khazinatul asrar tersenyum puas. Diambilnya Mathurat yang terbaris di atas meja.
“Mungkin ummi pun rindukan keluarga bang Asyraf,” fikirnya sambil meneruskan bacaan Mathurat.
Tak lama kemudian, sebuah kereta proton aeroback menuju masuk ke perkarangan rumah sederhana besar itu.
“Ummi, mereka dah balik!” Khazinatul Asrar tersenyum ceria sambil menarik tangan umminya ke muka pintu. Dia mahu sama-sama menyambut kepulangan abah dan suaminya.
“Macam mana? Dah settle?” Khazinatul Asrar bertanya ramah sebaik sahaja menyambut salam keduanya. Wajahnya manis berseri-seri.
“Alhamdulillah. Allah permudahkan. Tiket pun dah siap!” balas suaminya.
“Tiket dah siap?” ummi Khazinatul Asrar minta kepastian.
“Mmm!” serentak Mustaqhim Al-Qordhowi dan si abah mengangguk.
“Untuk empat orang?” ummi bertanya lagi.
“Tentulah, Zarah! Kan dah berbincang tiga kali. Macam tak yakin jea,” abah Khazinatul Asrar membalas dengan gurauan.
“Kenapa cepat sangat tiket siap?!” keluh ummi Khazinatul Asrar. Semua tercengang dengan keluhan itu. Ummi Khazinatul Asrar menyedari semua sedang memandangnya, hairan dengan keluhannya yang tersirat sesuatu. Ditariknya tangan si abah masuk ke bilik. Ada sesuatu yang ingin dibincangkan dengan suaminya itu.
“Pelik ummi hari ni…ummi tak sihat ke?” Mustaqhim Al-Qordhowi merenung mata isterinya.
“Asrar pun tak tahu, bang! Ummi agak diam hari ni. InsyaAllah, ummi tak apa-apa, Asrar rasa Ummi teringatkan Mak cik Nab dan Pak Cik Soleh sekeluarga di Rantau Abang. Eh, kesian abang letih. Duduklah dulu. Nanti Asrar siapkan orange juice,”
Khazinatul Asrar menyejukkan hati suaminya. Mustaqhim Al Qordhowi tersenyum.
Ma’thurat yang `terhidang‘ di meja tamu dijadikan santapan rohani terlebih dahulu.
Maghrib dan Isya’ berlalu dengan solat berjemaah sekeluarga. Sudah menjadi kebiasaan, tangan abah dan ummi dicium oleh pasangan suami isteri itu setiap kali selepas solat.
“Asrar Mustaqhim… abah nak cakap sikit,” Abah bersuara sekali gus membatalkan niat kedua-duanya untuk beredar dari bilik sembahyang. Bagaikan ada sesi muzakarah selepasnya. Ummi kelihatan sudah bersedia dengan apa yang akan abah sampaikan.
“Asrar… Mustaqhim… abah dan ummi dah bincang petang tadi, kami tak dapat ikut buat umrah. Mustaqhim pergi berdua sajalah dengan Asrar.” Abah menerangkan dengan tenang, setenang wajah Mustaqhim Al-Qordhowi dan Khazinatul Asrar dalam mendengar keputusan mengejut abah dan ummi.
“Lagipun inikan bulan madu… pergi berdua tentu lebih manis,” tambah ummi.
“Tapi, Asrar rasa lebih berkat kalau abah dan ummi pun turut bersama, kan bang?!”
usul Khazinatul Asrar. Mustaqhim Al-Qordhowi tersenyum sambil mengangguk akur.
“Ya, sayang! Tapi abah dan ummi ada urusan yang lebih penting untuk diselesaikan.
InsyaAllah, selesai urusan tu, kami akan menyusul kemudian. Kami pun dah cukup rindu pada lambaian Kaabah,” abahnya memberi penjelasan yang berkabus.
Khazinatul Asrar menarik wajah keliru. Dahinya berkeriuk cuba menafsirkan maksud tersirat di sebalik penjelasan abah. Ummi pantas memahami wajah manis yang keliru itu.
“Asrar, anak ummi! Ingatlah… sekarang ni syurga Asrar dah beralih di bawah tapak kaki suami. Jadilah bidadari untuknya,” erat digenggam jari jemari mulus puterinya.
“…dan Mustaqhim, menantu ummi! Syurga kamu tetap di bawah tapak kaki ibu. Ummi rasa, ibu bapa kamu lebih layak menerima tiket umrah tu. Bagilah tiket tu kepada mereka, bolehkan?”
“Oh, ummi! Asrar bertuah kerana lahir daripada wanita sebaik ummi!” Khazinatul Asrar memeluk umminya. Suasana mesra sebegitu memang telah menjadi kebiasaan hidupnya sejak kecil-kecil lagi.
“Kalau itulah kata ummi dan abah, Mustaqhim ikut saja,” Mustaqhim Al-Qordhowi tersenyum tenang. Memang penyenyum orangnya. Abah dan ummi turut mengukur senyuman yang tersembunyi suatu misi yang dirahsiakan.
“Bang, Asrar teringin sangat nak ziarah Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh sekeluarga di rantau Abang sebelum kita ke Tanah Suci,” ajak Khazinatul Asrar dengan sopan.
“Bila-bila masa jea Ainul Mardiah abang, cakap saja nak pergi bila? Esok? Lusa?”
Mustaqhim Al-Qordhowi menghiburkan isterinya. Khazinatul Asrar tersenyum manja diberi jolokan Ainul Mardhiah oleh suami tersayang. Nama bidadari paling cantik di syuga itu dirasakan terlalu agung untuk dimahkotakan untuk dirinya. Wajah-wajah nakal Asyraf dan adik-adiknya sejumlah lima orang pula bertamu diingatannya. Sejak kecil, keluarga itulah yang menceriakan kesepiannya sebagai anak tunggal dengan pelbagai usikan, kenakalan, ngomelan dan gelak tawa. Hatinya begitu terhibur setiap kali ummi dan abah membawanya menziarahi mereka. Kemesraan yang terjalin bermula daripada keakraban persahabatan abah dan pak cik Soleh sejak di alam kampus. Ianya bertambah erat apabila mereka menjadi rakan kongsi dalam satu syarikat penerbitan buku-buku ilmiah selepas graduate. Ummi dan mak cik Nab pula, masing-masing seorang pendidik dan pernah ditugaskan di sekolah yang sama ketika awal praktikal. Walaupun atas ikatan persahabatan namun ukhuwwah yang bersemi menjadikan dua buah keluarga itu bagaikan saudara sedarah sedaging.
Sudah agak lama suasana itu menyepi dalam hidup Khazinatul Asrar kerana dihalang oleh jarak waktu dan kesibukannya di Menara Gading. Asyraf pula baru sahaja pulang ke Malaysia setelah tamat pengajian di United Kingdom.
Kedatangan pasangan pengantin baru yang baru dua purnama diijabkabulkan itu disambut oleh lonjakan riang adik-adik Asyraf yang masing-masing bersekolah rendah dan menengah.
“Kak Asrar, nak hadiah!” itulah rengekan-rengekan yang sudah kalis menerjah corong telinga Khazinatul Asrar tiap kali berhadapan dengan kanak-kanak comel itu.
Khazinatul Asrar tidak pernah mengecewakan permintaan mereka. Musthaqim Al-Qordhowi pula tersenyum ceria melayani telatah riang mereka. Selang setengah jam berlalu, barulah Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh keluar menyambut kedatangan mereka dengan wajah yang berjalur garis-garis suram dan hambar. Tajam anak mata Pak Cik Soleh memanah batang tubuh pemuda yang mendampingi Khazinatul Asrar.
Mustaqhim Al-Qordhowi tetap dengan senyumannya.
“Asyraf masih belum balik kerja, Pak Cik?” Mustaqhim Al-Qordhowi cuba membuka perbualan.
“Balik kerja? Tak tahu ke dia dah ke Jepun?” Pak Cik Soleh membalas sinis.
“Oh, ye ke?! Dia sambung belajar lagi ke Pak Cik?” Mustaqhim Al-Qordhowi masih menunjukkan kemesraan untuk berbual. Namun, entah mengapa terasa sakit di hati kedua ibu bapa Asyraf tatkala mendengar pertanyaan itu. Kalaulah bukan atas nama kemanusiaan, mahu saja disumpah seranahnya pemuda yang menghancurkan impian Asyraf itu, perampas Khazinatul Asrar.
“Abang Long merajuk… Dia kata, kak Asrar dah kahwin, tak bolehlah nak main-main lagi. Dia nak cari orang yang serupa macam kak Asrar di Jepun,” sampuk Alif yang bersekolah darjah Tiga. Mak cik Nab mengcegilkan mata sebulat mata ikan lolong.
Budak kecil itu faham isyarat di sebalik wajah ibunya sambil cepat-cepat berlalu dari situ.
“Budak-budak begitulah…ada-ada saja!” Khazinatul asrar menjernihkan keadaan sambil tersenyum. Baginya, itu tak lebih dari satu gurauan. Masakan tidak, dari dulu lagi adik-adik Asyraf suka mengusik-ngusik dirinya dengan abang sulungnya.
Sedangkan, Asyraf sudah pun dianggap bagaikan abang kandung sendiri meskipun dia tetap menjaga batasan aurat sebagai ajnabiah.
“Ingat Alif tu main-main?” serius kali ini wajah Pak Cik Soleh.
“Tahu tak kenapa Asyraf ke Jepun?” Dia merajuk, tau! Sedih, kecewa dan merana Asyraf dibuatnya.” Suaranya meninggi, menegangkan suasana.
“Dia rela tak kahwin seumur hidup kalau bukan dengan Asrar…” Mak cik Nab menambah. Dendam. Geram. Benci.
“Kasihan Asyraf, cintanya dikhianati!” keluh Pak Cik Soleh, semakin meluap kebencian.
“Err…apa sebenarnya ni? Maaf…boleh tak kita bincang dengan baik, kita kan bersaudara?!” tenang sahaja Mustaqhim Al-Qordhowi menghadapi kekalutan yang tercetus. Menyerlahkan kewibawaanya.
“Bersaudaranya? Sejak bila kau memandai mengaku saudara kami?! Kau tak ada kaitan langsung dengan kami semua! Khazinatul Asrar je saudara kami, kamu bukan! Faham?!” kali ini kata-kata Pak Cik Soleh begitu berbisa bagaikan hilang rasionalnya.
MustaQhim Al-Qordhowi terus tenang. Hatinya beristighfar panjang. Khazinatul asrar pula tidak percaya suaminya dilayan sebegitu.
“Pak cik, mengucap Pak Cik! Kenapa abang Mustaqhim dilayan begini? Apa salah dia?”
Khazinatul Asrar cuba masih melembutkan suara walaupun situasi itu menerjah-nerjah pintu kesabarannya.
“Apa salah dia?!
"Dia memang salah kerana mengkahwini kau, Asrar! Kau sepatutnya menjadi isteri Asyraf, bukan dia!” tegas Pak Cik Soleh, memuntahkan api dendamnya.
“Sampai hati kau, Asrar. Siang malam Asyraf asyik teringatkan kau…. tiba-tiba kau kahwin dengan orang lain..di mana perikemanuasiaan kau pada Asyraf dan keluarga kami?” sindir Mak Cik Nab pula.
“Astaghfirullahal azhim. saya tak pernah pun berjanji nak menjadi isteri abang Asyraf, beri harapan pun tak pernah sama sekali! Bagaimana saya boleh cintakan abang Asyraf sedangkan statusnya dalam hidup saya lebih mulia dari itu, dia dahpun macam abang kandung saya sendiri! Pak Cik, Mak Cik… ini semua taqdir Allah! Siapalah kita untuk mempertikaikan ketentuan-Nya. Salahkah abang Mustaqhim kerana dipilih Allah untuk saya?” suara Khazinatul Asrar berbaur sedih.
“Sudahlah…kamu memang tak pandai menghargai persahabatan mak ayah kamu dengan kami, kejamnya kamu, Asrar!” kasar bahasa Pak Cik Soleh sekaligus meragut kesabaran Khazinatul Asrar.
“Oh, ini rupanya harga persahabatan Pak Cik, Mak Cik dengan abah dan ummi saya? Untuk kepentingan dan kepuasan keluarga Pak Cik? Di mana keikhlasan Pak cik? Beginikah sikap sebenar Pak Cik dan Mak Cik yang sangat saya hormati sekian lama?”
Khazinatul Asrar bertegas sama. Mustaqhim Al-Qordhowi menepuk-nepuk perlahan bahu isterinya. Menenangkan. Khazinatul asrar menghela nafas sambil berzikir dalam hati.
Di luar sana, Alif dicubit-cubit Kak Ngahnya yang berusia 15 tahun.
“NI semua Alif punya pasal lah, kecil-kecil lagi dah celupar mulut. Kasihan Kak Asrar kena marah. Kak Ngah bagi cili api kat mulut tu baru tau!” leter Kak Ngah. Geram.
Terdengar tangisan mengamuk si kecil itu.
“Pak Cik, Mak Cik…kami minta maaf. Buat masa ni biar lah kami minta diri dulu.
Insyallah, lain kali kami akan ziarah lagi…” Mustaqhim Al-Qordhowi masih tenang dan bersopan sambil menghulurkan salam. Tak bersambut.
“Sabarlah, Asrar…ujian Allah itu kan bukti kasih sayang Allah. Allah menguji sebab nak melihat setakat mana tahap iman kita menghadapinya. Inilah peluang dinaikkan memartabatkan iman di sisi-Nya. Insyallah, semuanya akan kembali jernih.
Yakinlah pada Allah!” pujuk Mustaqhim Al-Qordhowi dengan penuh kasih sayang.
Khazinatul Asrar mengangguk perlahan sambil menatap Al-Quran kecil yang senantiasa di bawa ke mana sahaja. Hatinya berbisik kagum dengan lelaki di sisinya itu yang terus tenang memecut kereta. Berulang-ulang kali dibacanya surahnya Ar-Rahman agar Allah mengembalikan rasa kasih sayang sesama keluarga mereka.
Setibanya di rumah, ummi dan abah sudah dapat menduga apa yang telah berlaku. Masakan tidak, sebelum daripada itu, mereka telah berkali-kali dipersalahkan oleh Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh atas pemergian Asyraf ke Jepun dengan hati yang hancur berkecai. Cuma, sengaja dirahsiakan daripada pengetahuan anak mertuanya demi menjaga hubungan baik antara mereka juga.
“Dua hari lagi nak ke Tanah Suci… berdoalah banyak-banyak agar semuanya kembali baik. Doakan juga agar Asyraf selamat di benua orang.” Pujuk ummi.
“Kalaulah abah ada ramai puteri, tentu abah takkan kecewakan Asyraf..” ayah Khazinatul Asrar masih rasa bersalah kepada Asyraf dan keluarganya meskipun menyedari bahawa realiti itu suatu suratan. Fikirannya mula mengimbas saat isterinya diikat peranakan kerana telah mengalami selama enam kali keguguran
selepas melahirkan Khazinatul Asrar.
“Abah, Asrar kesal dengan harga persahabatn mereka. Murah! Perkara sebegini pun nak diperbesarkan hingga sanggup nak bermusuhan…tiada ketulusan langsung!”
“Janganlah begini sayang, tak baik.” Mustaqhim Al-Qordhowi menenangkan lagi isterinya. Ummi tersenyum melihat kesabaran menantunya. Memang puterinya itu bijak memilih teman hidupnya. Khazinatul Asrar seorang yang cukup lantang di meja pidato dan debat pada zaman remajanya, memang padan untuk dijodohkan dengan seseorang yang boleh mengajarnya supaya lebih tenang dalam menyuarakan sesuatu.
Dalam pada itu, terbayang-bayang pula wajah Asyraf yang sudah pun dianggap bagaikan putera kandung sendiri.
Masih basah diingatannya, sebelum Asyraf melanjutkan pelajaran ke United Kingdom, dia mengusik mereka supaya menjaga Khazinatul Asrar untuknya.
Khazinatul Asrar yang baru sahaja memasuki dunia UKM ketika itu cuma tersenyum tawar dengan usikan nakal Asyraf.
“Bang Asyraf ni tak habis-habis lagi nak mengusik adik sendiri. Bilalah dia tu nak matang sikit? Mungkin bila dah ada isteri cantik bermata biru nanti, barulah dia tak usik Asrar lagi, kan abah?!” Khazinatul Asrar mangadu kepada abahnya tika itu.
Rupanya Asyraf yang suka berjenaka itu serius dalam gurauannya. Terbit rasa simpati ummi pada Asyraf. Namun, apakan daya, cinta tak boleh dipaksa, Khazinatul Asrar lebih berhak memilih teman hidupnya sendiri. Asyraf sepatutnya lebih rasional memikirkan bahawa tidak guna terlalu memuja-muja seseorang gadis kerana mungkin dia tidak diciptakan untuknya. Bukankah lebih baik bergantung harapan kepada Penciptanya sendiri kerana Allah lah pemilik dan pemegang hati setiap insan. Allah lebih Mengetahui siapakah yang terbaik untuk seseorang. Kesedaran inilah yang boleh menjadikan setiap insan redha dengan kebijaksanaan Allah mentaqdirkan sesuatu.
“Alangkah baiknya kalau Asyraf boleh menerima hakikat ini…” bisik hati ummi.
Lambaian Kaabah, Masjidul Haram, Masjidun Nabawi dari Bumi Anbiya’, Mekkah dan Madinah makin terasa mengusap perasaan. Di airport, Khazinatul Asrar sebak meninggalkan ayah bonda tercinta. Bagaikan itulah pertemuan terakhir antara mereka. Diciumnya berkali-kali pipi ummi dan abah. Diminta halal segala makan minum dan tiap titis susu ummi yang membesarkannya.
“Ummi, abah… ampunkah semua silap salah Asrar. Redhoilah Asrar menjadi anak ummi dan abah. Tak tahu kenapa Asrar rasa berat nak berpisah,” pilu suaranya.
“Asrar, kaulah satu-satunya saham akhirat kami di dunia ini. Jadilah isteri yang solehah agar ummi dan abah pun mendapat rahmat di sisi Allah,” pesan ibu Khazinatul Asrar sambil mendakap erat puteri kesayangannya itu.
“Asrar, di sana nanti, doakan keluarga kita, Mak Cik Nab, Pak Cik Soleh dan ummat Islam seluruhnya agar kita semua boleh berdamai atas nama Islam yang suci..” pesan si abah pula.
“Insyallah, bah!” balas Khazinatul Asrar, sebak.
Suaminya yang pergi menjemput ayahbondanya di Bandar Al-Muktafi Billah Syah sejak pagi tadi setelah menghantarnya berserta abah dan ummi terlebih dahulu ke lapangan terbang, masih belum kelihatan. Hari terus merangkak tengahari.
Matahari makin tegak meninggi. Saat berpisah makin mencemburui. Khazinatul Asrar memanfaatkah sepenuh masa yang masih berbaki itu untuk bermanja sepuasnya dengan abah dan ummi. Walaupun sudah bergelar isteri, namun bagi Khazinatul Asrar, kasihnya terhadap abah dan ummi tidak pernah berbelah bahagi. Kasihnya pada abah dan ummi tetap sama sampai bila-bila. Perkahwinannya bukanlah halangan untuk bermesra dengan abah dan ummi.
Tidak lama kemudan, muncullah kelibat Mustaqhim Al-Qordhowi bersama ayahbondanya di saat waktu berlepas makin menghampiri.
“Selamat Berangkat! Moga Allah rahmati,” ujar abah Khazinatul Asrar sambil berjabat tangan dengan besannya. Di saat itu, bila-bila masa sahaja mereka akan dipanggil pergi.
“Terima kasih, doakan Allah menerima ziarah kami anak-beranak sebagai tetamu-Nya,” balas besannya. Suasana sebak sekali lagi menyelubungi hati dan sanubari Khazinatul Asrar. Laju air matanya membasahi pipi tatkala bersalaman dengan ummi dan abah buat kali terakhir sebelum bertolak pergi ke Tanah Suci. Umminya juga begitu hiba menghadapi perpisahan itu. Entah mengapa hatinya sering berbisik-bisik bahawa selepas ini dia takkan berpeluang lagi menatapi wajah yang amat dicintai oleh
seorang ibu. Namun, dia melawan bisikan-bisikan itu dengan zikir qolbi kerana itu mungkin bisikan-bisikan syaitan yang selalu cuba menghalang orang yang ingin membuat kebaikan. Dia memujuk hatinya bahawa perpisahan itu cumalah sementara dan singkat kerana dia juga akan menyusuli mereka ke Tanah Suci bersama suaminya nanti.
Perpisahan keluarga itu diiringi dengan nur ukhuwwah, kasih sayang dan persaudaraan yang terpancar indah menghiasi alam itulah tuntutan Rasulullah yang semakin dilupakan. Semangat ukhuwwah dan persaudaraan…
((((((((((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))))))))))))
“Selagi anak aku tak balik, selagi tue kita putus saudara!” Ayah Asyraf betul-betul melampau kali ini. Ziarah ummi dan abah Khazinatul Asrar ke rumahnya pada suatu petang di sambut dengan kata-kata sekasar itu. Mereka pulang dengan perasaan yang sedih dan hiba. Namun, mereka yakin semuanya akan kembali pulih.
Mereka tetap akan berusaha mencari jalan perdamaian kerana bukanlah prinsip hidup mereka bermusuhan sesama insan bersaudara.
“Bang, betul ke bang masih ingat Do Co Mos Centre tu?” ibu Khazinatul Asrar meminta kepastian. Dia dan suaminya telah pun membulatkan tekad untuk mencari Asyraf di Negeri Matahari Terbit. Itulah misi yang dirahsiakannya. Mereka yakin hanya dengan memujuk Asyraf boleh memulihkan keretakan persahabatan keluarga mereka.
“Kalau tak silap abang, Do Co Mos Centre tui di kawasan Hibya Line, Tokyo subway… Nama pengurusnya pun abang masih ingat, Yusuke Katayose. Nanti, abang akan dapatkan maklumat lanjut dari Agensi pelancongan tu,” Abah Khazinatul Asrar meyakinkan isterinya.
“Saya yakin, bang…mesti Asyraf ada kat situ!” wajahnya sarat dengan harapan.
“Kita doakanlah…Abang pun yakin Asyraf tetap ada misi hidup tersendiri di Jepun walaupun pergi dalam keadaan merajuk. Abang masih ingat lagi, sejak dari sekolah menengah dulu, dia suka sangat bercerita tentang maklumat yang dikumpulnya melalui internet mengenai pusat komputer yang di antara tercanggih di dunia tu. Tak hairanlah dia begitu bersungguh mempelajari bahasa Jepun ketika menuntut di UK,”
imbas suaminya.
“Betulah, bang. Asyraf pun pernah berangan-angan nak bawa Asrar ke Do Co Mos Centre tu. Banyak kali dia beritahu saya.” Kenangan diimbas pula oleh isterinya.
“Zahra, kita teruskan berdoa. Malam ni, Insyallah kita solat hajat 12 rakaat sama-sama lagi, larat tak?” lembut suara lelaki yang hampir mencecah usia separuh abad itu.
“Insyallah, bang… pada Allah jua tempat kita mengadu untuk permudahkan urusan kita,” isterinya akur.
Beberapa minggu berlalu, gemparlah penduduk sekitar tentang keberangkatan Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim ke Jepun semata-mata untuk mencari dan memujuk anak sahabatnya. Sucinya hati mereka dalam menghargai erti persahabatan.
Akhirnya tempias berita itu sampai juga ke corong telingan Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh. Kekerasan hati mereka terlentur dengan pengorbanan yang tak pernah terlintas di fikiran. Di manakah Asyraf perlu dicari di dunia teknologi secanggih Jepun? Terasa diri mereka diketuk-ketuk oleh keegoan sendiri. Malunya pada diri sendiri. Barulah mula terfikir, Khazinatul Asrar lebih layak untuk Mustaqhim Al-Qordhowi bukan untuk Asyraf. Jauh sekali keluhuran peribadi lelaki itu jika nak dibandingkan dengan anak lelaki mereka yang nakal walaupun berpelajaran tinggi. Satu-persatu sikap melampau mereka terskrin di ruang mata sendiri.
“Oh, Tuhan…” akhirnya Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh kembali juga pada Ar-Rahman.
((((((((((((((((((((((((((((((((((())))))))))))))))))))))))))))))))
Bagaikan permata di celahan kaca,
Kerdipnya sukar tuk dibezakan,
Kepada-Mu Tuhan ku pasrah harapan,
Moga tak tersalah pilihan.
Nur Kasih-Mu mendamai di kalbu,
Jernih setulus tadahan doaku,
Rahmati daku dan permintaanku,
Untuk bertemu di dalam restu.
Kurniakan daku serikandi,
Penyejuk di mata penawar di hati,
Di dunia dialah penyeri,
Di Syurga menanti dia bidadari,
Kekasih sejati teman yang berbudi,
Kasihnya bukan keterpaksaan,
Bukan jua kerana keduniaan,
Mekar hidup ini disirami Nur Kasih.
Ya Allah, kurniakanlah kami isteri dan zuriat yang soleh,
Sebagai penyejuk mata….
Di tangan-Mu Tuhan ku sandar impian,
Penentu jodoh pertemuan,
Seandai dirinya dicipta untukku,
Rela ku menjadi miliknya.
Kurniakan daku serikandi,
Penyejuk di mata penawar di hati,
Di dunia dialah penyeri,
Di Syurga menanti dia bidadari,
Kekasih sejati teman yang berbudi,
Kasihnya bukan keterpaksaan,
Bukan jua kerana keduniaan,
Mekar hidup ini disirami Nur Kasih.
Irama In-Team dari kaset yang sempat dibawanya dari Malaysia itu menjadi penghiburnya tiapkali kesunyian.
“Ku tujukan lagu ini buatmu, Khazinatul Asrar…” bisiknya sendiri. Sekali lagi lagu itu diputarkan memecah kesunyian kamarnya. Keadaan dirinya agak tidak terurus. Makan dan minum tidak dihiraukan sangat, cukuplah sedikit air mineral dan roti menjadi alas perut. Mujurlah dia masih rasional untuk menyara hidupnya dengan bekerja di Do Co Mos Centre kerana kelayakan akademik yang dimilikinya.
Tubuhnya dibalut dengan baju berbulu tebal. Tidak cukup dengan itu, kain selimut pula diselimuti ke badannya. Kedinginan musim sejuk di Jepun yang menusuk-nusuk tulang sum-sum begitu menyengat bagi orang Malaysia seperti Asyraf.
Dalam kesejukan malam salji tebal menutup alam, tiba-tiba kedengaran suara tetamu dari luar. Suara tegas yang cukup dikenali.
Haip! Haip! Penghormatan diberi kepada Yusuku Katayose, pengurus Do Co Mos Centre. Kehairanan menerjah fikiran dengan kunjungan jutawan yang cukup disegani itu. Dua orang lelaki berwajah Melayu juga turut mengiringi. Mereka seakan-akan fasih berbahasa Jepun. Setelah beberapa minit berbincang, fahamlah Asyraf bahawa dua orang lelaki itu adalah wakil salah satu agensi pelancongan dari Malaysia.
Rupa-rupanya, kehadiran mereka bersama satu berita yang sukar untuk dipercayai.
Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim sedang berada di Bandar itu untuk mencarinya.
“Kerana aku???” hatinya sukar untuk mempercayai.
Dalam kekagetan itu, dia bertambah kaget apabila dimaklumkan bahawa mereka sedang berada di hospital utama di Tokyo. Apatah lagi, sepantas kilat keretanya dipecut ke sana. Tidak dipedulikan lagi kesejukan malam di musim salji yang memamah-mamah urat sendi.
Sepanjang perjalanan, pelbagai andaian dan tafsiran yang bermain-main di fikiran, terbayang-bayang bermacam kesukaran yang terpaksa ditempuh oleh ibu dan ayah gadis pujaannya dalam pencarian mereka. Segala persoalan yang menerjah ke kotak fikiran hanya terjawab dengan kepiluan. Sedih. Terharu.
..BERSAMBUNG..
0 comments:
Post a Comment